harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa suara Malaysia ke Persidangan Rangkaian Pengamal Penguatkuasaan Mencegah Rasuah Rentas Sempadan di pejabat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Paris di Perancis.
SPRM dalam kenyataan berkata, delegasi negara diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman diberi penghormatan memberi ucapan pembukaan sebelum sesi pembentangan oleh oleh Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad.
“Mesyuarat bertemakan “Following the Money: Tracking Corrupt Assets and Halting Illicit Financial Flows” berlangsung pada 23 hingga 24 Jun lalu.
“Ia menghimpunkan pegawai penguat kuasa, pendakwa raya serta pakar antirasuah dari pelbagai negara bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik menangani rasuah rentas sempadan, pengesanan aset dan aliran kewangan haram,” kata kenyataan itu hari ini.
SPRM berkata, Abd Halim dalam ucapannya menekankan komitmen berterusan agensi itu dalam membanteras rasuah menerusi kerjasama domestik dan antarabangsa khususnya dalam usaha pemulihan aset berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, Norhaizam dalam pembentangan beliau berkongsi berhubung pengalaman mengendalikan siasatan kes 1MDB, meliputi kerjasama antara agensi di peringkat domestik dan antarabangsa, penggunaan pendekatan intelligence-based investigation (IBI), strategi mengesan aliran kewangan haram serta usaha pemulihan aset melibatkan pelbagai bidang kuasa.
Menurut SPRM, pembentangan itu turut menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan bagi memperkukuh keberkesanan siasatan kes rasuah berskala besar serta mempercepatkan proses pengesanan, pembekuan dan pemulihan aset yang diperoleh melalui hasil rasuah.
Dalam kunjungan sama, SPRM diketuai Abd Halim turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Pengurus Kanan Antirasuah OECD Global Initiative, Elodie Beth dan bertemu Ketua Bahagian Anti-Rasuah, Direktorat Hal Ehwal Kewangan dan Perusahaan (DAF), OECD, Julia Fromholz.
Menerusi pertemuan itu delegasi Malaysia sempat bertukar pandangan mengenai perkembangan agenda antirasuah antarabangsa disamping memperkukuh hubungan kerjasama antara SPRM dan OECD.
“Kunjungan ini menjadi platform bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan kerjasama antarabangsa dalam usaha membanteras rasuah serta memperkukuh hubungan antara SPRM dan perwakilan Malaysia di Perancis dalam menyokong pelaksanaan diplomasi antirasuah negara.
“Penyertaan SPRM dalam mesyuarat antarabangsa ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa.
“Selain itu ia dapat mempertingkat keupayaan siasatan kewangan serta memperkukuh usaha pemulihan aset bagi menangani jenayah rasuah dan aliran kewangan haram di peringkat global,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




