Guadalupe: Detik-detik sambutan biasanya berakhir di atas padang namun ada juga detik yang melangkaui bola sepak itu sendiri.
Hanya beberapa saat selepas Maghribi mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, Ismael Saibari berlari pantas ke arah tempat duduk penonton di Estadio Monterrey, Mexico.
Ketika rakan sepasukannya meraikan kemenangan dengan penuh kegembiraan dan stadium bergema dengan sorakan, pemain itu hanya memikirkan seorang individu – ibunya.
Sebaik tiba di hadapan ibunya, wanita itu tidak dapat menahan tangisan dan Saibari yang masih dibuai emosi selepas menyempurnakan sepakan penalti kemenangan, memeluk ibunya sebelum mereka saling menyentuhkan dahi dengan penuh kasih sayang.
Ia adalah detik yang sangat peribadi di pentas terbesar bola sepak dunia.
Video itu kemudian tular di media sosial dengan ribuan pengguna menyifatkannya sebagai antara detik paling menyentuh hati sepanjang kejohanan.
Bagi ramai orang, ia hanyalah sambutan penuh emosi antara seorang anak dan ibunya namun bagi mereka yang mengetahui kisah hidup Saibari, air mata itu membawa bersama beban seluruh zaman kanak-kanaknya yang dipenuhi ketakutan, keimanan, pengorbanan dan harapan.
Saibari dilahirkan dengan kecacatan kongenital pada kedua-dua kakinya, bermakna kedua-dua kakinya berpusing terlalu jauh ke dalam sehingga ketika bayi dan kanak-kanak kecil, dia tidak mampu berjalan tanpa bantuan.
Dia memerlukan alat sokongan khas hanya untuk berdiri, apatah lagi bergerak.
Ya, kaki saya sangat berpusing ke dalam, jadi saya terpaksa memakai alat khas,” katanya dalam satu temu bual pada 2024.
“Malah doktor memberitahu ibu bapa saya bahawa mungkin saya tidak akan dapat berjalan dengan betul sepanjang hayat saya,” katanya mengimbau kembali.
Ayat seperti itu pasti menghancurkan hati kebanyakan ibu bapa tetapi bagi ibunya, ia menjadi satu misi.
“Ibu saya hanya berdoa agar saya dapat menjalani kehidupan yang normal.
“Bukanlah perlu menjadi pemain bola sepak atau apa-apa. Tetapi syukur kepada Tuhan, sekarang saya mempunyai kaki yang normal dan tubuh yang sihat,” katanya.
Ada sesuatu yang sangat menyentuh dalam kata-kata itu – rasa syukur yang sebenarnya bukan mengenai bola sepak.
Ia mengenai tubuh yang mampu berfungsi dan kehidupan yang suatu ketika dahulu tidak dijamin akan dimiliki.
Di sebalik rasa syukur itu tersembunyi bulan dan tahun yang penuh cabaran yang jarang diketahui orang ramai: penggunaan alat ortopedik, rawatan berulang kali serta proses perlahan mengajar tubuh melakukan perkara yang doktor sendiri tidak pasti mampu dilakukannya.
Saibari hanya mula berjalan ketika berusia dua tahun dan sebaik sahaja dia mampu berjalan, dia mahu berlari.
Apabila dia mampu berlari, dia mahu bermain bola sepak dan dia mula menendang bola bersama pasukan belia tempatan di Terrassa, Sepanyol, tempat keluarganya menetap ketika itu.
Namun bola sepak, seperti yang sering berlaku kepada keluarga migran terpaksa menunggu di belakang keperluan hidup yang lebih mendesak.
Pada 2007, krisis kewangan melanda ekonomi Sepanyol dan keluarga Saibari turut merasai kesannya.
“Ayah saya bekerja mengangkut barangan tetapi dia bimbang kehilangan pekerjaan. Walaupun ibu saya mempunyai kedai sendiri dan membuat roti yang sangat sedap, kami tidak dapat hidup hanya dengan itu,” jelas Saibari dalam temu bual pada 2024.
Lalu keluarganya berpindah sekali lagi, kali ini ke Belgium.
Saibari ketika itu baru berusia enam tahun dan terpaksa memulakan kehidupan baharu di negara baharu buat kali kedua dalam hidupnya.
Mudah untuk melihat pelukan yang tular itu sekadar satu lagi kisah indah dalam dunia sukan.
Namun hakikatnya ia membawa makna yang jauh lebih mendalam.
Selama bertahun-tahun, ibu Saibari meraikan pencapaian yang dianggap biasa oleh kebanyakan ibu bapa.
Kali pertama anaknya berdiri, kali pertama anaknya berjalan dan juga kali pertama anaknya menendang bola.
Pada malam Isnin itu, wanita terbabit menyaksikan anak yang sama menyingkirkan salah satu pasukan terkuat dunia menerusi sepakan paling tenang dalam hidupnya.
Kerana pada pandangannya, dia bukan sekadar melihat seorang wira Piala Dunia.
Dia melihat seorang kanak-kanak lelaki yang suatu ketika dahulu doktor percaya mungkin tidak akan mampu berjalan.
Ketika jutaan peminat menyaksikan Ismael Saibari memeluk ibunya yang menangis selepas membawa Maghribi ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia, mereka sebenarnya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar sambutan yang tular.
© New Straits Times Press (M) Bhd




