Guimaraes wira tak didendang Brazil

Guimaraes wira tak didendang Brazil

Houston: Gabriel Martinelli menerima pujian selepas menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir ketika Brazil menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi pusingan 32 terakhir, awal pagi semalam.

Namun, pemain tengah Bruno Guimaraes sebenarnya menjadi arkitek kepada jaringan itu, sekali gus meneruskan aksi cemerlangnya di Piala Dunia 2026.

Hantaran gol itu adalah bantuan jaringan keempat Guimaraes dalam kejohanan berkenaan dan meletakkannya di tangga teratas senarai pemain dengan bantuan gol terbanyak.

Ia juga menjadi satu lagi detik membanggakan buat pemain yang kurang mendapat perhatian dalam skuad Brazil yang dibarisi ramai bintang dari kelab elit dunia.

Sejak tahun 2000, hanya Michael Ballack bersama Jerman pada 2002, Francesco Totti bersama Itali pada 2006 dan Juan Cuadrado bersama Colombia pada 2014 pernah mencatat empat bantuan gol dalam satu edisi Piala Dunia, tiada pemain yang berjaya merekodkan lebih daripada itu.

Di sebalik minat beberapa kelab terhadap pemain Newcastle United itu, dengan laporan media sejak beberapa bulan lalu mengaitkannya dengan Real Madrid, Manchester United dan Arsenal, Guimaraes kini mempamerkan prestasi yang berpotensi membawanya kepada perpindahan bernilai tinggi.

Walaupun Vinicius Junior, Matheus Cunha dan kini Martinelli mencuri perhatian menerusi jaringan gol, Brazil sebenarnya memiliki seorang pemain tengah yang rajin dan menjadi penggerak utama corak permainan pasukan.

“Bruno adalah pemain yang sangat penting, amat konsisten sepanjang perlawanan dan sentiasa memberikan sumbangan besar dalam aspek pertahanan serta serangan.

“Dia menghasilkan satu bantuan gol yang hebat dan saya amat gembira kerana Bruno mempunyai semangat juang yang tinggi,” kata jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top