am@hmetro.com.my
Kuala Langat: Dua lelaki maut dalam dua kemalangan berasingan dalam tempoh 16 jam di daerah ini, hari ini.
Dalam kejadian pertama kira-kira jam 4.20 petang tadi di Kilometer 6.7 Lebuhraya Pantai Barat (WCE), seorang penunggang motosikal Honda Dash berusia lingkungan 20-an meninggal dunia selepas merempuh belakang kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pemandu Ford Ranger iaitu lelaki warga asing, 30-an, tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, siasatan mendapati penunggang motosikal yang bekerja sebagai pekerja swasta itu dari arah Banting ke Klang.
“Tiba di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang Ford Ranger yang berhenti di lorong kecemasan akibat rosak.
“Impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal jatuh dan cedera di kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sementara itu, dalam kejadian kedua jam 8.20 pagi di Kilometer 21.8 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), seorang penunggang motosikal Yamaha LC 135 berusia lingkungan 40-an maut selepas tercampak kira-kira 25 meter.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai pekerja swasta dalam perjalanan dari Beranang menghala ke Jalan Kebun.
“Setibanya di lokasi, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan bergesel dengan penghadang jalan lalu jatuh.
“Mangsa tercampak kira-kira 25 meter dan cedera di kepala serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mohd Akmalrizal berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




