462 kontena dikesan bawa buangan terjadual

462 kontena dikesan bawa buangan terjadual

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 462 kontena daripada 777 kontena yang diperiksa melalui 54 operasi pemeriksaan di Unit Pelabuhan Port Klang, Selangor dikenal pasti mengandungi buangan terjadual, sehingga kini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 133 kontena sudah berjaya dihantar pulang ke negara asal, manakala tindakan penguatkuasaan terhadap baki kontena sedang diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Katanya, bagi Fasa 1, sebanyak 148 kontena sudah diperiksa dan 139 kontena berjaya dikeluarkan dari Malaysia.

“Susulan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Task Force E-Waste sudah bersetuju supaya tindakan penggantungan lesen dikenakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi arahan pengeluaran kontena dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sementara itu, pemeriksaan Fasa 2 membabitkan 615 kontena sedang dipergiatkan melalui kerjasama pelbagai agensi bagi mempercepatkan tindakan susulan,” kata kenyataan itu, malam ini.

Menurutnya, pelaksanaan operasi secara berfasa itu menunjukkan perkembangan yang positif dan membuktikan keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara bersepadu.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dan disegerakan bagi memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan dan mencapai objektif ditetapkan,” katanya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh mengadakan lawatan kerja ke Unit Pelabuhan Port Klang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) di sini, hari ini.

Ia bagi meninjau pelaksanaan operasi penguatkuasaan terhadap kemasukan buangan elektronik (e-waste) dan buangan terjadual ke negara ini.

Kenyataan itu berkata, lawatan berkenaan turut membabitkan sesi taklimat mengenai kesiapsiagaan Unit Pelabuhan Port Klang yang baharu diwujudkan, struktur operasi, proses pemeriksaan kontena serta tindakan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan.

Katanya, sebagai sebahagian daripada lawatan kerja, Timbalan Menteri turut menyaksikan pemeriksaan ke atas dua kontena yang disyaki mengandungi buangan elektronik (e-waste) bagi menilai keberkesanan pelaksanaan operasi penguatkuasaan di lapangan.

“Lawatan ini turut memberi ruang kepada Kementerian untuk meneliti pelaksanaan tugas dan tanggungjawab semua agensi yang terlibat dalam memastikan sistem penguatkuasaan berjalan secara menyeluruh dan berfungsi dengan lebih efektif.

“Keperluan memperkukuh kapasiti operasi, termasuk daripada aspek sumber manusia, penyelarasan antara agensi dan kesiapsiagaan operasi akan terus diteliti bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan dapat berjalan dengan lebih lancar serta memenuhi keperluan semasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kejayaan membanteras penyeludupan e-waste bergantung kepada penguatkuasaan tegas, tindakan susulan pantas serta kerjasama strategik antara JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Westports Malaysia serta agensi berkaitan.

“Pendekatan bersepadu ini bukan saja meningkatkan kecekapan pemeriksaan dan penguatkuasaan, malah memudahkan penyelarasan operasi di pintu masuk negara supaya setiap kontena yang disyaki dapat dikenal pasti, diperiksa dan diambil tindakan,” katanya.

Katanya, Kementerian akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan melalui pemantapan kerjasama rentas agensi, penambahbaikan prosedur operasi serta peningkatan keupayaan pelaksanaan di lapangan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram.

Menurut kenyataan itu, langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam melindungi alam sekitar, kesihatan awam dan kepentingan negara melalui sistem penguatkuasaan yang lebih cekap, berfungsi dan berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top