Qabil Irfan kembali ke Jerez dengan misi besar

Qabil Irfan kembali ke Jerez dengan misi besar

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan bertekad meneruskan momentum cemerlang yang dipamerkan pada pusingan lalu apabila menggalas cabaran Pusingan Ketiga Moto4 European Cup 2026 di Litar Jerez, Sepanyol, dari 3 hingga 5 Julai ini.

Pelumba SIC-GRYD Racing itu hadir ke Jerez dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan peningkatan prestasi di Estoril apabila bangkit menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan keempat.

Ketika ini, Qabil Irfan menghuni tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 26 mata, hanya empat mata di belakang kelompok lima terbaik.

Keadaan itu menyuntik semangat buatnya untuk memburu kemenangan pertama musim ini.

Litar Jerez bukanlah gelanggang asing buat Qabil Irfan kerana musim lalu, beliau mencipta kejayaan membanggakan di litar berprestij itu apabila memenangi perlumbaan pembukaan ESBK Talent Cup 2025 sebelum menutup kempen dengan kedudukan ketiga di litar sama, sekali gus muncul juara keseluruhan.

“Saya sangat teruja untuk kembali beraksi di Jerez kerana litar ini amat serasi dengan gaya tunggangan saya.

“Tahun lalu, saya berjaya memenangi perlumbaan pembukaan ESBK Talent Cup di sini dan menamatkan musim di podium sebelum dinobatkan sebagai juara keseluruhan. Rekod tersebut memberikan keyakinan kepada saya,” katanya.

Qabil Irfan mengakui cabaran kali ini lebih getir memandangkan Moto4 European Cup menghimpunkan barisan pelumba terbaik Eropah.

“Saya sedar cabaran kali ini berbeza memandangkan tahap persaingan yang lebih sengit. Saya bersama pasukan telah menilai semula prestasi di Estoril dan mengenal pasti beberapa aspek teknikal yang perlu diperbaiki menjelang perlumbaan hujung minggu ini.

“Fokus saya adalah untuk memberikan prestasi terbaik bermula sesi latihan bebas lagi bagi memastikan kami memperoleh tetapan jentera yang tepat sebelum sesi kelayakan,” katanya.

Sepanjang dua pusingan pertama musim ini, Qabil Irfan membuktikan kemampuannya bersaing dalam kelompok hadapan apabila beberapa kali berada pada kedudukan terbaik untuk menaiki podium sebelum dinafikan oleh insiden perlumbaan.

“Sasaran saya adalah untuk terus konsisten dalam kelompok hadapan, mengutip mata maksimum dan jika berpeluang, saya mahu mencabar kedudukan podium buat kali pertama musim ini.

“Terima kasih kepada seluruh penaja, pasukan SIC-GRYD Racing, keluarga dan para penyokong yang sentiasa berada di belakang saya,” katanya.

Dalam pada itu, SIC-GRYD Racing kini memberi tumpuan kepada analisis data daripada pusingan terdahulu bagi mendapatkan tetapan jentera yang optimum menjelang sesi latihan pertama.

Pasukan itu menyasarkan kutipan mata maksimum di Jerez bagi merapatkan jurang dengan kelompok pendahulu kejuaraan.

Scroll to Top