Mesin gol Perancis setaraf gandingan legenda Brazil

Mesin gol Perancis setaraf gandingan legenda Brazil

New York: Kemaraan Perancis ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia dibina atas kekuatan jentera serangan yang begitu ampuh sehingga mula dibandingkan dengan antara gandingan penyerang terbaik dalam sejarah bola sepak.

Gandingan Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise sudah menghasilkan 11 gol serta sembilan bantuan jaringan dalam empat perlawanan.

Manakala Bradley Barcola pula menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan walaupun tidak sentiasa berada dalam kesebelasan utama.

Jurulatih, Didier Deschamps nyata berjaya membentuk jentera serangan yang mampu membadai lawan secara berterusan.

Perancis sudah meledak 13 gol dalam empat perlawanan, dengan 12 daripadanya dijaringkan oleh Mbappe, Dembele, Olise dan Barcola.

Kebergantungan kepada kelompok kecil pemain untuk menghasilkan sebahagian besar jaringan pada tahap sebegitu jarang disaksikan dalam sejarah Piala Dunia.

Kali terakhir tiga pemain menghasilkan jumlah gol lebih banyak dalam satu edisi Piala Dunia adalah menerusi gandingan legenda Brazil pada 2002 apabila Ronaldo meledak lapan gol, Rivaldo lima gol dan Ronaldinho dua gol, sekali gus membantu Brazil menjulang gelaran dunia kelima.

Sama ada Perancis mampu mengulangi pencapaian itu masih menjadi persoalan, namun mereka kini mula disebut sebaris dengan pasukan legenda seperti Brazil yang menjuarai Piala Dunia 1970 serta Hungary yang memukau dunia pada edisi 1954.

“Apabila melihat potensi jentera serangan yang kami miliki, termasuk jika dibandingkan dalam sejarah bola sepak, ia sesuatu yang sangat jarang berlaku,” kata pemain tengah Perancis, Aurelien Tchouameni, selepas kemenangan 3-0 ke atas Sweden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top