Pandak tawar 10 manifesto bertema ‘Kota Iskandar Gemilang, Kita Bina Bersama’

Pandak tawar 10 manifesto bertema ‘Kota Iskandar Gemilang, Kita Bina Bersama’

MUKADIMAH

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar merupakan antara kawasan pilihan raya dengan jumlah pengundi tertinggi di negara ini apabila mempunyai lebih 131,000 pemilih berdaftar di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kawasan yang dihuni kira-kira 600,000 penduduk pelbagai latar belakang itu menyaksikan pengundi Melayu membentuk 51 peratus daripada keseluruhan pengundi, manakala bakinya terdiri daripada bukan Melayu. Komposisi tersebut menjadikan persaingan di kerusi berkenaan lebih mencabar dan memerlukan calon menawarkan pendekatan yang mampu meraih sokongan semua kaum bagi kawasan yang turut dikenali sebagai jantung ekonomi negeri Johor itu. Wartawan Utusan Malaysia, KHAIRUL MOHD. ALI menemubual calon BN bagi kerusi DUN Kota Iskandar, DATUK PANDAK AHMAD yang akan berhasrat mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal kedua.

Soalan: Apakah strategi mendekati pengundi pelbagai latar belakang dan ekonomi?

PANDAK AHMAD: Latar belakang saya sebagai anak nelayan membolehkan saya memahami denyut nadi rakyat marhaen, manakala pengalaman hidup dan kerjaya membentuk pendekatan yang profesional dalam berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat. DUN Kota Iskandar mempunyai landskap pengundi yang unik, terdiri daripada golongan profesional, teknokrat, nelayan, masyarakat kampung, Orang Asli, belia serta usahawan tempatan dan antarabangsa. Justeru, setiap kelompok perlu didekati dengan pendekatan berbeza agar keperluan, cabaran dan aspirasi mereka dapat difahami serta diberi perhatian sewajarnya.

Kelebihan anda miliki berbanding calon lain yang turut bertanding di kerusi DUN Kota Iskandar.

Walaupun ada calon lain memiliki latar belakang profesional, saya yakin pengalaman sebagai ketua kampung, ahli majlis, pengerusi persatuan sukan, ketua komuniti dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadi kelebihan utama. Pengalaman itu membolehkan saya memahami keperluan rakyat serta mengurus pelbagai isu bersama agensi kerajaan negeri dan Persekutuan. Jika terus diberi mandat, saya akan menjadi suara penduduk, membawa setiap aduan kepada pihak berkaitan dan berusaha mencari penyelesaian terbaik supaya kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Apakah pencapaian utama sepanjang lebih empat tahun menjadi ADUN?

Sepanjang lebih empat tahun memegang amanah, pelbagai isu rakyat berjaya diselesaikan termasuk pembangunan infrastruktur, kemudahan asas serta memperkukuh kerjasama antara penduduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Antara kejayaan terbesar ialah pembangunan Kampung Sungai Melayu daripada perkampungan nelayan tradisional kepada destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa. Kini, kampung itu menerima kehadiran pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk serta mengangkat imej Johor sebagai destinasi pelancongan yang semakin dikenali.

Bagaimana anda melihat gesaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahli dan penyokong parti itu mengundi calon BN di kawasan tidak ditandingi wakil Perikatan Nasional (PN)?

Saya mengalu-alukan sokongan itu sekiranya ahli dan penyokong Pas memilih memberi kepercayaan kepada saya. Jika diberi mandat, saya akan terus berkhidmat kepada semua pengundi tanpa mengira fahaman politik. Seperti penggal lalu, keutamaan saya ialah menyelesaikan masalah rakyat dan menjaga kebajikan seluruh penduduk DUN Kota Iskandar.

Apakah tawaran kepada penduduk jika diberi mandat semula?

Saya menawarkan 10 manifesto bertemakan Kota Iskandar Gemilang, Kita Bina Bersama dengan 10 manifesto iaitu:

1. membangun institusi pendidikan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

2. Klinik Kesihatan Iskandar Puteri kelas 2.

3. Sistem jalan raya dan penyuraian trafik terancang.

4. Perumahan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK).

5. Peluang pekerjaan JS-SEZ.

6. Rumah Ibadat masjid, tokong dan kuil.

7. Pembinaan pasar dan eko pelancongan di Tanjung Kupang.

8. Tanah perkuburan Islam baharu di Kota Iskandar.

9. Nasib penduduk di kampung setinggan.

10. Pembinaan pasar awam Taman Nusantara. – UTUSAN

Scroll to Top