Saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan disifatkan wajar menyediakan subsidi atau padanan caruman bagi tempoh awal pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) khususnya kepada golongan B40, M40 berpendapatan rendah, pekerja ekonomi gig, pekerja kontrak serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pendekatan ini bukan sesuatu yang baru kerana kerajaan sebelum ini sudah menyediakan bantuan caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi menggalakkan penyertaan dan mengurangkan beban pencarum.
K atanya, pelaksanaan SKBBK secara berperingkat juga perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira kesiapsiagaan pekerja, majikan serta keadaan ekonomi semasa supaya proses peralihan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan tidak menimbulkan kejutan kepada mana mana pihak.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar, pendapatan boleh guna isi rumah yang semakin tertekan serta peningkatan kos operasi perusahaan, pelaksanaan SKBBK perlu mengambil kira kemampuan sebenar rakyat.
“Matlamat yang baik tidak seharusnya dicapai melalui pendekatan yang akhirnya menambah beban kewangan kepada pekerja dan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Justeru ABIM percaya bahawa kekuatan sesuatu sistem perlindungan sosial bukan hanya diukur melalui keluasan liputannya, tetapi juga melalui keyakinan rakyat terhadap keadilan pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
SKBBK atau dikenali sebagai Lindung 24 Jam ialah skim baharu di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mula dikuatkuasakan untuk memberi perlindungan kepada pekerja sekiranya berlaku kemalangan yang tidak berkaitan dengan kerja, termasuk di luar waktu bekerja.
Sebelum ini, perlindungan PERKESO lebih tertumpu kepada kemalangan ketika bekerja atau perjalanan pergi dan balik kerja.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Fahmi berkata, kerajaan juga disaran mewujudkan mekanisme semakan berkala yang telus bagi menilai keberkesanan pelaksanaan, kadar tuntutan manfaat, kemampanan dana serta kesannya terhadap kesejahteraan pekerja dan daya saing perusahaan.
“Hasil penilaian ini hendaklah diumumkan secara berkala bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem perlindungan sosial negara.
“Selain itu, usaha libat urus bersama pekerja, majikan, kesatuan sekerja, badan profesional, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat madani perlu terus diperkasakan supaya setiap penambahbaikan dasar dibuat berasaskan pengalaman sebenar di lapangan, data yang telus serta amalan terbaik.
“Kerajaan juga disaran menjalankan kajian menyeluruh mengenai isu pertindihan perlindungan bagi pekerja yang sudah dilindungi melalui skim takaful atau insurans kemalangan yang menawarkan manfaat yang setara.
“Kajian itu penting bagi memastikan pelaksanaan SKBBK memberi perlindungan sosial meluas tanpa mewujudkan beban kewangan yang tidak diperlukan kepada pekerja dan majikan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat ruang untuk penyelarasan dasar pada masa hadapan, ia hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan objektif utama SKBBK sebagai instrumen perlindungan sosial negara.
“Perlindungan sosial yang mampan mestilah dibangunkan melalui semangat perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, majikan dan pekerja supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa membebankan mana-mana pihak.
“ABIM berharap kerajaan akan terus mendengar pandangan semua pihak dan mempertimbangkan penambahbaikan yang sewajarnya, supaya reformasi perlindungan sosial negara dapat dilaksanakan secara lebih adil, lestari dan berteraskan maslahat demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




