VANCOUVER: Jurulatih Switzerland, Murat Yakin menghamburkan pujian kepada pemainnya apabila mempamerkan disiplin yang tinggi ketika menewaskan Algeria 2-0 sekali gus mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.
Menurut Yakin, kejayaan itu berpunca daripada persembahan bertahan yang mantap apabila pasukannya berjaya mengekang setiap ancaman lawan sepanjang 90 minit permainan.
“Ini merupakan persembahan bertahan yang sangat baik. Dalam setiap fasa permainan, kami bertahan dengan cukup mantap dan tidak memberi banyak peluang kepada pihak lawan.
“Saya ingin memuji seluruh pasukan kerana mereka berjuang dengan penuh komitmen dan berjaya menjaringkan gol pada waktu yang tepat. Saya percaya kami sememangnya layak untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Skuad kendalian Yakin itu membuka jaringan seawal babak pertama menerusi Breel Embolo sebelum Dan Ndoye menggandakan kelebihan sejurus separuh masa kedua bermula.
Kemenangan itu menyaksikan Switzerland melakar kejayaan pertama di pusingan kalah mati Piala Dunia sejak 1938 dan bakal berdepan sama ada Colombia atau Ghana di Vancouver, Selasa ini.
Yakin mengakui pasukannya berdepan tekanan pada awal permainan, namun berjaya memanfaatkan ruang yang terhasil untuk melancarkan serangan balas yang berkesan.
“Kami ditekan pada awal permainan dan tekanan tinggi yang dirancang tidak begitu menjadi. Bagaimanapun, kami berjaya mengeksploitasi ruang yang ada dan mencipta beberapa peluang.
“Gol pertama hadir pada waktu yang cukup penting. Selepas itu, saya fikir kami menguasai permainan dan saya amat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan kerana kami berdepan barisan pemain lawan yang memiliki kualiti individu tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai lawan pada pusingan 16 terbaik, Yakin berkata, dia perlu memastikan pasukannya bersedia untuk menghadapi sama ada Colombia atau pun Ghana.
“Tiada lawan yang mudah di peringkat ini. Kami perlu memastikan setiap aspek permainan, termasuk taktikal, intensiti dan disiplin, berada pada tahap terbaik.
“Buat masa ini, kami hanya mahu menikmati kemenangan ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan, para pemain serta seluruh penyokong Switzerland yang bangun awal pagi untuk memberikan sokongan kepada kami,” katanya. – AGENSI




