PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa harga barangan di pasar tani sentiasa dipantau menerusi Portal Pengawasan serta Intervensi Bekalan dan Pemasaran Agromakanan (SISDA) bagi memastikan ia kekal berpatutan, di sebalik rungutan segelintir pengguna berhubung harga sesetengah barangan.
Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak berkata, tidak semua harga barangan meningkat kerana terdapat juga produk yang dijual pada harga lebih rendah, namun perkara itu kurang mendapat perhatian pengguna.
“Rungutan ini mana-mana pun ada, tapi kita lihat produk, tidak semua barang harganya tinggi. Ada juga barang yang rendah tapi mereka tak pernah komen. Tapi memang tidak dinafikan bahawa bekalan yang kita dapat ini berdasarkan kepada supply dan demand. Jadi tak semestinya semua barang naik tetapi ada yang naik, ada yang turun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Pasar Tani Putrajaya di sini hari ini.
Diminta mengulas berhubung terdapat dakwaan harga bawang mencecah RM16 sekilogram di pasar tani berkenaan, Isham berkata, harga produk itu berbeza mengikut negara asal dan kualiti produk yang dijual.
“Bawang itu ada yang pelbagai, ada daripada China, Holland, kita tengok kualiti dia pula. Jadi harga itu berbeza daripada kualiti dia juga,” katanya.
Beliau berkata, harga barangan di pasar tani juga sentiasa dipantau menerusi SISDA yang turut membolehkan orang ramai menyemak pergerakan harga semasa sebagai perbandingan sebelum membuat pembelian.
Menurutnya, sistem itu turut berperanan sebagai mekanisme amaran awal bagi membantu FAMA mendapatkan bekalan tambahan sekiranya terdapat petunjuk kenaikan harga secara mendadak. – UTUSAN




