'Dia meninggal dunia ketika berpaut di belakang saya' – Tekong bot karam

'Dia meninggal dunia ketika berpaut di belakang saya' – Tekong bot karam

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Kegembiraan sekumpulan pemuda menyertai aktiviti mencandat sotong bertukar tragedi apabila bot dinaiki mereka karam kira-kira lima batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, di sini, mengorbankan seorang pembantu tekong.

Dalam kejadian jam 8.40 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Nasa, berusia lingkungan 40-an, manakala 11 lagi individu termasuk tekong bot, Mohd Awais Saari, 40, berjaya diselamatkan.

Difahamkan, kejadian dikatakan berlaku selepas bahagian bot pecah menyebabkan air memasuki bot sebelum ia karam.

Ketika kejadian, semua mangsa termasuk lapan lelaki dan dua wanita berusia dari Kuala Lumpur memakai jaket keselamatan.

Mereka dilaporkan terapung di permukaan laut kira-kira sejam sebelum berjaya diselamatkan pasukan keselamatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Seberang Takir sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mohd Awais berkata, mereka bertolak dari Jeti Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, pada jam 5.30 petang menuju ke perairan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud bagi aktiviti mencandat sotong.

Katanya, mangsa yang maut adalah sepupunya yang bekerja dalam bidang pendawaian elektrik.

“Dia meninggal dunia di belakang saya. Saya tahu dia tidak pandai berenang, jadi saya menyuruhnya naik ke belakang saya sambil berpaut pada leher saya.

“Ketika dia berpaut, saya dapat rasakan tangannya semakin lemah. Apabila saya menoleh ke belakang, saya nampak mulutnya berbuih dan sempat memeriksa nadinya.

“Saya percaya dia kemungkinan lemas selepas air memasuki hidung dan mulutnya akibat dihempas ombak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top