'Lebih seni berbanding sains'

'Lebih seni berbanding sains'

am@hmetro.com.my

SETIAP helaian fabrik bukan sekadar busana, tetapi usaha memperkenalkan identiti Sabah ke pentas lebih besar.

Itu yang sentiasa dipaparkan oleh Bruno George Sadiwa.

Jika dilihat pada latar belakang akademik Bruno, 38, sukar untuk membayangkan pemuda ini bakal mencipta nama sebagai antara pereka fesyen yang dikenali di Sabah.

Namun bagi Bruno, perjalanan hidupnya membuktikan minat dan kesungguhan tidak pernah mengkhianati hasil.

Anak ketiga daripada lima adik beradik itu langsung tiada latar belakang pendidikan fesyen atau seni kreatif.

Terdahulu, dia menyambung pelajaran dalam aliran sains di matrikulasi Labuan, sebelum melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Minat itu lahir apabila melihat dunia peragaan dan pelbagai rekaan pakaian yang menarik perhatian ketika saya berusia sekitar 17 tahun.

“Saya sebenarnya lebih cenderung kepada bidang seni walaupun belajar bidang sains,” katanya.

Menurut Bruno lagi, titik permulaannya untuk belajar menjahit dan menghasilkan busana bermula ketika dia berada di tahun dua di UUM.

“Ketika itu, UUM menganjurkan program kebudayaan dan saya ditugaskan untuk menghasilkan busana kebudayaan komuniti Sabah.

“Busana itu saya jahit sendiri secara manual. Pengalaman itu yang membuka ruang untuk saya mengenali keunikan busana tradisional Sabah dengan lebih dekat,” katanya.

Menurut Bruno, daripada situ, dia melihat potensi besar yang ada dalam bidang rekaan pakaian, khususnya yang bertemakan budaya tempatan.

Apa yang lebih mengagumkan, Bruno membina kemahiran menjahit dan mereka bentuk pakaian tanpa sebarang latihan rasmi, sebaliknya banyak belajar daripada rakan serta menimba ilmu menerusi video dan tutorial di YouTube dan Tiktok.

“Saya ada mendapat tawaran untuk mengikuti kursus menjahit namun masih mempertimbangkannya kerana sibuk,” katanya.

Keupayaannya mengolah elemen tradisi dalam sentuhan moden menyaksikan Bruno diberi kepercayaan menghasilkan pelbagai busana penting, termasuk kostum kebangsaan untuk pertandingan antarabangsa.

Selain bergelar pereka fesyen, Bruno juga menyertai pelbagai pertandingan pereka fesyen

“Saya pernah menyertai pelbagai pertandingan kecantikan dan kebudayaan sejak 2011 sehingga 2018. Pada 2016, saya memenangi pertandingan ‘Mister Sabah Ambassador’, dan tempat ketiga di ‘Mr Kaamatan Sabah 2018’.

“Selain itu, saya juga pernah dinobatkan sebagai ‘The Most Popular Sabah Designer’ untuk 2018 dan 2019, pemenang wakil Sabah bagi ‘Borneo Hornbill Festival’ serta Pertandingan Pakaian Kreatif Moden Tradisi Sabah 2018 sempena karnival budaya Kanou Moginakan (Mari Makan),” katanya.

Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, Bruno berkata, dia lebih banyak menjadi pengurus bakat dan pereka busana untuk peserta kebudayaan dan kecantikan.

“Antara rekaan terkini saya termasuk busana yang dipakai finalis dan peserta pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2026, pertandingan Binongkoh Sinulatan, Unduk Ngadau Kadamaian Square serta Sinombiaka Ki Gosing Ranau, Finalist Unduk Ngadau Ranau Kaamatan 2026,” katanya.

Menurut Bruno lagi, setiap kali menghasilkan busana tradisional, dia akan memastikan rekaannya menghormati bentuk asal dan tidak menyimpang terlalu jauh daripada nilai budaya sebenar.

“Tanggungjawab seorang pereka bukan sekadar menghasilkan pakaian yang cantik, ia turut merangkumi aspek memelihara keaslian warisan turun-temurun.

“Jika bukan kita yang menjaga warisan itu, siapa lagi yang akan mempertahankannya?,” katanya.

Bagaimanapun, Bruno mengakui, cabaran terbesar sebagai pereka adalah memastikan setiap rekaan sentiasa tampil segar tanpa mengorbankan identiti budaya yang ingin diketengahkan.

“Sabah mempunyai keunikan tersendiri, oleh itu pereka perlu lebih kreatif kerana elemen warna dan motif tradisional yang digunakan tidak sebanyak negeri lain,” katanya.

Bagaimanapun, Bruno percaya, kekangan itu sebenarnya membuka ruang untuk menghasilkan rekaan yang lebih inovatif dan mempunyai karakter tersendiri.

Bagi Bruno, kejayaan sebenar bukan terletak pada jumlah anugerah atau populariti yang diraih, tetapi apabila setiap busana yang dihasilkannya mampu membuatkan masyarakat lebih menghargai budaya Sabah.

“Saya berharap lebih ramai anak muda berani meneroka bidang kreatif dan menjadikan warisan tempatan sebagai sumber inspirasi kerana budaya yang dipelihara hari ini adalah identiti yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top