TAIPEI: Ahli-ahli Parlimen Taiwan bersetuju meneliti beberapa cadangan peruntukan bagi pembangunan dron yang berpotensi digunakan untuk mempertahankan pulau itu sekiranya berlaku serangan dari China.
Kerajaan Presiden, Lai Ching-te sebelum ini berdepan pertikaian dengan parti-parti pembangkang yang menguasai Parlimen berhubung jumlah perbelanjaan bagi memperkukuh keupayaan pertahanan Taiwan.
China menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berulang kali mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi mengambil alih pulau itu.
Kerajaan Ching-te yang berdepan tekanan kuat daripada Amerika Syarikat (AS) supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan, bercadang memperuntukkan sehingga NT$210 bilion (RM26 bilion) dalam tempoh lebih lima tahun bagi membangunkan dron buatan Taiwan.
Peruntukan itu meliputi pembangunan pelbagai jenis kenderaan tanpa pemandu termasuk dron pemantauan pesisir pantai, dron serangan dan dron permukaan.
Sementara itu, parti pembangkang utama, Kuomintang (KMT) yang menyokong hubungan lebih rapat dengan China, mencadangkan peruntukan lebih besar iaitu NT$240 bilion (RM30.5 bilion) bagi tempoh enam tahun.
Bagaimanapun, KMT mahu perbelanjaan itu dihadkan kepada NT$40 bilion (RM5 bilion) setahun dan dimasukkan ke dalam belanjawan tahunan kerajaan.
Pada Jumaat, Ahli Parlimen mengundi untuk merujuk rang undang-undang berkaitan, termasuk cadangan kerajaan dan KMT kepada jawatankuasa Parlimen bagi penelitian lanjut.
Ching-te memberi amaran cadangan KMT untuk memasukkan peruntukan dron ke dalam belanjawan tahunan akan mengurangkan dana bagi perbelanjaan penting lain seperti pendidikan dan kebajikan sosial. Beliau turut berkata, langkah itu boleh menyukarkan kerajaan memenuhi keperluan pembangunan ketenteraan dengan segera.
Namun, Ahli Parlimen KMT, Jonathan Lin mempertahankan cadangan itu dengan menyatakan pembangunan pertahanan negara merupakan usaha jangka panjang dan tidak sepatutnya menggunakan belanjawan khas sebagai cara untuk mengelakkan penelitian Parlimen.
Sementara itu, wakil tertinggi AS di Taipei, Raymond Greene pada Khamis menyifatkan dron sebagai peluang yang mampu mengubah landskap keselamatan Taiwan serta mengukuhkan keamanan serantau.
Menurut beliau, tiada pendekatan yang lebih berkesan untuk menghalang konflik selain menjadikan Taiwan sebagai ‘sarang tebuan’ yang dipenuhi dron udara, permukaan dan bawah permukaan. Namun, usaha itu memerlukan pelaburan yang dirancang dengan teliti.
Pada Mei lalu, KMT bersama Parti Rakyat Taiwan meluluskan belanjawan khas pertahanan berjumlah AS$25 bilion (RM101.7 bilion), iaitu kira-kira satu pertiga lebih rendah daripada jumlah yang diminta oleh Parti Progresif Demokratik pimpinan Ching-te.
Pembangkang turut menggugurkan kira-kira AS$15 bilion (RM61.02 bilion) yang dicadangkan kerajaan bagi perolehan dron tempatan dan beberapa inisiatif lain untuk memperkukuh pertahanan. – AFP




