'Ramalan dia meleset, jauh tersasar' – Fahmi tempelak unjuran Kian Ming mengenai PRN Johor

'Ramalan dia meleset, jauh tersasar' – Fahmi tempelak unjuran Kian Ming mengenai PRN Johor

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang meramalkan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ramalan dibuat pemimpin DAP itu sebenarnya meleset dan tersasar jauh dari landasan.

“Dr Ong (Kian Ming) adalah sahabat saya, dan selalu bertengkar dengan beliau sewaktu menjadi Ahli Parlimen dulu.

“Dia berhak mempunyai pandangan tapi (pandangan) meleset, jauh tersasar daripada realiti,” katanya ketika ditemui selepas Ramah Mesra bersama Penduduk Kampung Istana, di sini, hari ini.

Fahmi berkata, dakwaan dibuat Kian Ming tiada kaitan dengan kelewatan PH mengumumkan manifesto sebaliknya ia dilakukan tepat pada masanya.

Katanya, PH memilih tempoh yang sesuai sebelum mengumumkan manifesto selepas mengambil kira keperluan serta persetujuan bersama pimpinannya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi PH, kita pilih masa (umumkan manifesto), dan setelah kita rasakan bahan kepada manifesto itu cukup lengkap barulah kita umum.

“Saya kira kita luncurkan tepat pada masanya pada Jumaat bersamaan minggu kedua (kempen). Jadi cukup masa setelah kita perkenalkan calon, sekarang dua-dua pihak akan memperagakan manifesto masing-masing,” katanya.

Semalam, Kian Ming meramalkan BN dijangka membolot hingga 53 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, kebarangkalian BN meraih kemenangan besar kini meningkat daripada lebih 50 peratus kepada lebih 60 peratus selepas minggu pertama kempen PRN itu.

Katanya, unjuran itu adalah berdasarkan tiga senario – iaitu yang memihak kepada Barisan Nasional (BN); Pakatan Harapan (PH); dan Perikatan Nasional (PN) – dengan menggunakan data undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam senario memihak kepada BN yang juga dilihat paling berkemungkinan berlaku, beliau berkata, PH dijangka memenangi baki tiga lagi kerusi DUN terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top