am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pemimpin politik yang menggunakan sentimen ketuanan Melayu semata-mata sebagai alat politik untuk kepentingan peribadi, keluarga, dan kroni mereka.
Beliau berkata, rakyat perlu bangkit, berusaha dan berjuang menentang naratif seumpama itu.
“Adakah kita pasti bahawa mereka (pemimpin politik) benar-benar prihatin tentang kaum mereka? Adakah kita pasti mereka yang diberi kuasa untuk memimpin dan mentadbir negara ini selama lebih daripada enam dekad benar-benar mengambil berat tentang komuniti mereka?
“Adakah mereka melakukan segala yang mungkin untuk membantu rakyat atau mereka sekadar menggunakan kuasa untuk mempamerkan keangkuhan dan membazirkan kekayaan hasil negara demi diri sendiri, keluarga serta kroni mereka?
“Fakta ini jelas, jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan maklumat yang mengelirukan ini. Saya tidak percaya dengan retorik politik berdekad-dekad mereka mengenai ketuanan Melayu.
“Jika dilihat secara dekat kepada pemimpin masa lalu dan sekarang, semuanya hanyalah permainan prinsip dan nilai. Semakin lantang mereka melaungkan tentang ketuanan Melayu, semakin kaya-raya jadinya mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Pemimpin Kristian Johor bersama Perdana Menteri di bandar raya ini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan R Yuneswaran.
Anwar berkata, Malaysia tidak boleh lari daripada akar hidup selama ini yang hidup beragama dan berbudaya.
“Kita perlu terima kenyataan bahawa masyarakat Islam adalah majoriti di negara ini, tetapi kita hidup bertapak di Tanah Melayu dan kini Malaysia dengan ikrar yang jelas bahawa negara ini harus bersama maju meningkat cemerlang sebagai satu kesatuan semua kaum dan semua agama,” jelasnya.
Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan supaya Malaysia harus lebih matang dari segi demokrasi dan toleransi.
“Negara kita ini mencatat sejarah sebagai antara yang aman di rantau ini dan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih baik.
“Kini kita tidak lagi tertumpu ke Lembah Klang, Pulau Pinang atau Hi-tech, kini tumpuan sudah ke Negeri Sembilan, Melaka dan terutamanya Johor kerana di sini ada Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ) dan sekarang ke Sabah dan Sarawak juga.
“Pimpinan Sarawak saya nampak cepat menyambut langkah pembaharuan dan meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




