Dolar bina Amerika

Dolar bina Amerika

Tarikh 4 Julai 2026 menandakan detik bersejarah buat Amerika Syarikat (AS) apabila kuasa besar dunia itu menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-250. Penuh dengan gilang-gemilang, naratif rasmi dari Washington sering kali mengangkat kisah perjuangan menentang penjajahan British, keberanian tokoh pengasas atau Founding Fathers dan idealisme kebebasan yang dijulang sejak 1776.

Bagaimanapun, di sebalik retorik perang dan perjanjian damai, ada satu realiti sejarah yang jarang diketahui ramai.

Menyingkap kembali sejarah awal benua Amerika Utara selepas ketibaan Christopher Columbus pada akhir abad ke-15, kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol, Inggeris, dan Perancis mula mendirikan koloni mereka sendiri.

Proses penguasaan tanah daripada masyarakat pribumi melalui siri peperangan dan pembunuhan beramai-ramai terus memuncak pada abad ke-17 dan ke-18, sekali gus mengukuhkan dominasi Eropah di benua berkenaan.

Namun, sebaik sahaja mengisytiharkan kemerdekaan, AS tidak sekadar mempertahankan sempadan asal mereka, sebaliknya melancarkan dasar perluasan wilayah yang agresif dengan menggunakan kuasa geopolitik dan kekuatan dolar.

Louisiana dibeli daripada Perancis dengan harga AS$15 juta

Laporan Anadolu Ajansi mendedahkan bahawa fasa awal perluasan kuasa secara komersial ini bermula secara rasmi pada 1803 menerusi Pembelian Louisiana daripada Perancis.

Ketika itu, pemimpin Perancis, Napoleon Bonaparte, tersepit dengan kemelut ekonomi yang parah serta ancaman keselamatan akibat konflik yang bakal meletus di Eropah.

Faktor-faktor inilah yang mengukuhkan posisi AS dalam rundingan dengan negara berkenaan. AS sekali gus mengambil kesempatan atas situasi terdesak Perancis apabila membeli wilayah Louisiana yang sangat luas dengan harga hanya AS$15 juta.

Jika dinilai mengikut kadar inflasi purata sebanyak 1.52 peratus dari 1803 sehingga 2024, jumlah itu dianggarkan mencecah kira-kira AS$420 juta pada hari ini. Transaksi mega inilah yang mempermudah dan membuka laluan perluasan wilayah AS secara mendadak ke arah barat merentasi benua Amerika Utara.

Florida dibeli dengan harga AS$5 juta dari Sepanyol

Strategi memburu tanah milik kuasa Eropah yang sedang melemah ini diteruskan tidak lama kemudian di wilayah selatan. Menjelang awal abad ke-19, Sepanyol mula kehilangan cengkaman dan kawalan terhadap koloninya di Florida akibat impak peperangan domestik di Eropah serta konflik berterusan dengan penduduk tempatan.

Peluang ini ‘disambar’ oleh AS pada 1819 menerusi Perjanjian Adams-Onis, yang mana AS bersetuju membeli Florida. Ia dengan cara menanggung ganti rugi kira-kira AS$5 juta yang dituntut rakyat di kawasan itu terhadap Sepanyol.

‘Nafsu’ peluasan kuasa ini tidak terhenti di situ apabila beberapa dekad kemudian, iaitu pada 1854, AS membelanjakan lagi AS$10 juta memborong tanah hampir 77,000 kilometer persegi daripada Mexico.

Wilayah yang dibeli menerusi siri transaksi komersial ini kini membentuk sebahagian daripada negeri Arizona dan New Mexico moden.

Langkah Strategik Utama: Alaska

Namun, langkah paling strategik dalam sejarah moden AS sudah pastinya merujuk kepada Pembelian Alaska pada 1867. Rentetan daripada Perang Crimean yang meletus pada pertengahan abad ke-19, Rusia mengalami tekanan kewangan yang amat meruncing sehingga memaksa mereka menawarkan penjualan Alaska kepada Washington.

AS mengambil peluang keemasan itu dengan membayar ‘harga runtuh’ sebanyak AS$7.2 juta. Nilai ini adalah bersamaan dengan kira-kira AS$153 juta pada hari ini selepas mengambil kira pelarasan kadar inflasi purata dolar sebanyak 1.97 peratus dari tahun 1867 sehingga 2024.

Walaupun tindakan berkenaan pada mulanya dikritik hebat oleh pemerhati tempatan, pelaburan itu terbukti menjadi aset paling berharga apabila nilai Alaska melonjak berkali-kali ganda susulan penemuan pelbagai sumber semula jadi serta potensinya yang berkembang pesat sebagai destinasi pelancongan utama.

Hari ini, Alaska merangkumi kira-kira 17 peratus daripada keseluruhan wilayah AS. Lebih daripada itu, kepentingan geopolitik Alaska dan wilayah Artik kini menjadi semakin jelas, di mana ia berfungsi sebagai pos pertahanan ketenteraan yang amat kritikal bagi mengekang pengaruh Rusia serta menjamin kehadiran ketenteraan AS di Artik.

AS memajak tanah di Teluk Guantanamo pada 1903

Hasrat mengukuhkan pengaruh luar ini terus melangkaui abad ke-20. Sebagai contoh, semasa proses kemerdekaan Cuba daripada Sepanyol pada 1903, AS bertindak memajak kawasan strategik yang kini menempatkan pangkalan tentera kontroversi iaitu Guantanamo Bay.

Hubungan kedua-dua negara bagaimanapun merosot tajam selepas revolusi pimpinan Fidel Castro pada 1959, menyaksikan kedua-dua negara berada dalam blok bertentangan ketika Perang Dingin.

Kepulauan Virgin dibeli daripada Denmark

Tidak cukup dengan itu, pada 1917, demi mengukuhkan kedudukan strategik di Caribbean, AS membeli wilayah Hindia Barat Denmark yang kini dikenali sebagai Virgin Islands daripada Denmark dengan harga AS$25 juta dalam bentuk emas.

AS cuba membeli Greenland

Apa yang menarik, impian untuk terus ‘membeli’ wilayah berdaulat ini sebenarnya masih bernyawa sehingga ke era moden. Imbasan sejarah menunjukkan pentadbiran Presiden Harry Truman pernah menawarkan AS$100 juta dalam bentuk emas kepada Denmark pada 1946 untuk membeli Greenland, sebuah wilayah autonomi yang kaya dengan uranium, emas, gas, dan minyak.

Malah, hasrat yang sama dicetuskan semula oleh Presiden Donald Trump pada 2019 sehingga mencetuskan pertikaian diplomatik ringkas antara kedua-dua negara, sebelum Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, mengesahkan pada Mei 2021 bahawa Washington tidak lagi berminat untuk membeli pulau dilitupi ais berkenaan.

Hasrat sama kembali menjadi tajuk berita pada pentadbiran penggal kedua Trump, namun berita ini tenggelam susulan konflik geopolitik dunia.

Secara keseluruhannya, genap dua abad setengah usia penubuhan AS, dunia sering disogok dengan naratif bahawa sebuah negara kuasa besar dibina semata-mata atas darah pejuang yang menuntut kebebasan.

Bagaimanapun, lipatan sejarah yang berpaksikan data konkrit membuktikan empayar moden ini sebenarnya tegak berdiri di atas deretan transaksi kewangan, kapitalisme geopolitik, dan eksploitasi licik terhadap kuasa-kuasa penjajah lama yang sedang meniti kejatuhan.

Tanpa resit-resit pembelian tanah dan tawaran cek dolar abad ke-19, peta geografi dan landskap politik AS pada hari ini pasti kelihatan sangat berbeza daripada apa yang kita saksikan sekarang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top