nurul_husna@mediaprima.com.my
ISU keterjaminan makanan terus menjadi agenda paling kritikal negara dalam mendepani fasa ketidaktentuan iklim global serta pergolakan geopolitik dunia ketika ini.
Walaupun tumpuan lazimnya lebih kerap diberi kepada sektor padi dan ternakan ruminan, satu lagi ‘lubuk protein’ ialah sektor perikanan dan akuakultur.
Pensyarah Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Yuzine Esa berkata, bagi memenuhi permintaan domestik kian meningkat, selain mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar, Malaysia tiada pilihan melainkan beralih sepenuhnya kepada penggunaan baka dan benih akuakultur berkualiti tinggi.
Menurut beliau, penghasilan benih unggul bukan lagi sekadar satu kelebihan pilihan atau kemewahan, sebaliknya ia penting dalam memperkukuh rantaian bekalan makanan negara.
Mengulas lanjut status semasa industri, Dr Yuzine menjelaskan, sektor akuakultur di Malaysia ketika ini menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran perikanan negara.
“Berdasarkan unjuran semasa Jabatan Perikanan Malaysia, subsektor ini dijangka terus memikul tanggungjawab besar memandangkan hasil tangkapan laut atau perikanan tangkapan didapati semakin mencapai tahap tepu ekoran isu terlebih tangkap serta kemusnahan habitat semulajadi yang kian berlarutan.
“Ketika ini, spesies popular seperti ikan tilapia, patin, siakap, udang harimau, dan udang putih menjadi teras utama pertumbuhan industri,” katanya.
Beliau menegaskan, untuk melonjakkan volum pengeluaran ke tahap maksimum bagi menampung keperluan 34 juta rakyat Malaysia, asas kepada ekosistem ini iaitu kualiti benih dan induk (broodstock) mestilah diperkukuhkan.
“Di sebalik angka pertumbuhan positif, realitinya industri akuakultur tempatan masih dibayangi beberapa kekangan kritikal termasuk isu kemerosotan genetik (inbreeding depression).
“Hal ini berlaku kerana banyak pusat penetasan swasta berskala kecil dikesan menggunakan induk ikan sama berulang kali tanpa pengurusan genetik sistematik, sekali gus menyebabkan benih ikan yang dihasilkan mudah diserang penyakit, mempunyai kadar pertumbuhan perlahan, serta merekodkan kadar kematian yang tinggi.
“Pada masa sama, negara berhadapan isu kebergantungan benih import, khususnya bagi spesies premium tertentu seperti siakap dan udang.
“Malah, Malaysia masih bergantung kepada bekalan induk dari luar negara yang berisiko melumpuhkan rantaian pengeluaran tempatan jika berlaku sekatan logistik global,” katanya.
Masalah itu dibebankan lagi dengan kos input tinggi, terutama membabitkan harga makanan rumusan ikan, sekali gus menyebabkan margin keuntungan penternak tempatan kian terhimpit.
Bagi mengatasi kemelut berpanjangan ini, Dr Yuzine menyarankan agar pendekatan serampang dua mata dalam intervensi teknologi serta pemantapan dasar dilaksana secara agresif.
“Inisiatif perlu dilaksanakan termasuk mewujudkan Pusat Repositori dan Bank Genetik Negara.
“Langkah ini penting bagi menyediakan pangkalan data dan pusat penyimpanan sperma serta tisu ikan (cryopreservation) komprehensif demi mengekalkan ketulenan baka premium berkenaan.
“Selain itu, aplikasi teknologi pembiakbakaan terpilih (selective breeding) menerusi penggunaan penanda molekul perlu diperluaskan untuk memilih induk dengan gen ketahanan penyakit yang tinggi serta kadar tumbesaran efisien,” katanya.
Langkah itu juga perlu disusuli dengan memperketat penguatkuasaan skim pensijilan kualiti benih bagi semua pusat penetasan tempatan, sekali gus memastikan hanya benih gred ‘A’ sahaja dipasarkan kepada penternak demi masa depan sekuriti makanan negara lebih mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




