Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di seluruh negara diluluskan tambahan 100 liter sebulan di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), menjadikan jumlah kelayakan mereka meningkat kepada 300 liter sebulan bermula Julai 2026.
Daripada jumlah itu, lebih 174,000 penerima adalah warganegara di Semenanjung Malaysia, manakala lebih 22,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kemudahan tambahan itu diperkenalkan bagi mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik kenderaan terbabit, termasuk untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana serta pergerakan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memahami bahawa kenderaan jenis pikap dan jip bukan hanya digunakan untuk perjalanan harian, sebaliknya turut menjadi sumber sokongan ekonomi isi rumah.
“Kerajaan memahami bahawa bagi pemilik pikap dan jip diesel, kenderaan ini bukan sekadar untuk perjalanan harian, tetapi turut digunakan bagi mencari rezeki dan mengurus keperluan keluarga. Sebab itu, kemudahan tambahan 100 liter ini disediakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meneliti maklum balas rakyat termasuk isu penggunaan kenderaan diesel milik ahli keluarga terdekat serta rekod pemilikan yang belum dikemas kini.
Dalam masa sama, pemilik kenderaan terlibat yang ingin memohon penambahan 100 liter sebulan serta pemindahan kelayakan BUDI Diesel boleh berbuat demikian melalui portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my yang turut menyediakan soalan lazim berkaitan pelaksanaan program itu.
Kerajaan turut membenarkan permohonan pemindahan kelayakan dibuat melalui portal berkenaan atau melalui kemas kini rekod pemilikan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selain menawarkan pengecualian fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.
“Penambahbaikan ini menunjukkan bahawa pelaksanaan BUDI Diesel akan terus dipantau dan disesuaikan berdasarkan maklum balas rakyat, supaya manfaat subsidi sampai kepada penerima yang layak tanpa membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan,” katanya lagi.

Setakat 4 Julai 2026, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan telah diterima, manakala lebih 336,000 transaksi diesel direkodkan sejak pelaksanaan akses awal program bermula 27 Jun lalu.
Artikel lain:
Kerajaan memaklumkan pelaksanaan BUDI Diesel menggunakan pengesahan MyKad bagi memastikan hanya warganegara yang layak menerima subsidi, sekali gus mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan.
“Subsidi bersasar merupakan manfaat kerajaan kepada rakyat yang layak. Pada masa sama, penyasaran ini penting bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi kekal terjamin dan tidak disalah guna,”ujar beliau.

Kerajaan MADANI akan terus memantau pelaksanaan program itu bagi memastikan penyaluran subsidi lebih berkesan serta menutup ruang ketirisan yang merugikan negara.




