DI SEBALIK sebuah bangunan lama terletak di Persiaran Jubli Emas, di Kangar, Perlis terdapat sebuah premis restoran yang menawarkan keunikan tersendiri buat pelanggan dengan berkonsepkan klasik dan vintaj.
Menariknya, Rusty & Co yang beroperasi sejak Mei tahun lalu juga cuba membawa pendekatan berbeza dengan menyajikan hidangan ala barat seakan hotel lima bintang pada harga berpatutan.
Perniagaan diusahakan di bawah jenama itu menjadi kesinambungan perjalanan buat pemiliknya, Tajul Haslam Tajudin, 42, yang sebelum ini turut mengusahakan Restoran Lapaq Cafe & Space di Jalan Santan, Kangar, selama lapan tahun.
Menurut Tajul, dia memilih untuk menjenamakan semula perusahaan itu selepas perlu berpindah dari lokasi asal sejak Julai 2024 berikutan kawasan lama bakal dibangunkan semula.
“Bila berpindah, kami ambil peluang untuk bina identiti baharu. Selepas hampir lapan tahun pelanggan kenal kami sebagai Lapaq Cafe & Space, jadi kami pilih untuk jenamakan kepada Rusty & Co.

“Walaupun nama berubah, pengurusan dan operasi masih dikendalikan oleh kumpulan sama yang mengusahakan Lapaq Cafe & Space sebelum ini,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di restorannya, baru-baru ini.
Tajul Haslam berkata, pendekatan Rusty & Co adalah bagi memberikan pengalaman buat pelanggan mereka merasai hidangan berkualiti seperti sajian di hotel lima bintang pada harga lebih berpatutan dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, restoran itu memberi tumpuan kepada hidangan ala barat dengan antara menu pilihan utama seperti chicken chop klasik yang menggunakan sos oriental dalam memberikan kelainan berbanding penggunaan sos lada hitam seperti kebiasaan.
“Rusty & Co lebih menampilkan konsep restoran berbanding kafe kerana kami tidak memberi fokus kepada kopi, pastri atau pencuci mulut, namun sebaliknya menumpukan kepada hidangan utama,” katanya.
Bapa kepada dua anak ini berkata, selain hidangan chicken chop, sajian pasta turut menjadi antara pilihan pelanggan kerana mempunyai keenakan tersendiri dan ditawarkan pada harga berpatutan berbanding restoran lain yang menggunakan konsep seumpamanya.
Ujar Tajul, selain memfokuskan kepada makanan, Rusty & Co turut menitik beratkan aspek suasana, servis dan pengalaman pelanggan semasa berada di premis berkenaan.
“Idea penubuhan Rusty & Co tercetus daripada keinginan saya untuk mewujudkan sebuah restoran yang mempunyai konsep tersendiri. Bangunan lama yang dipilih ini juga sebenarnya telah kosong kira-kira lebih sedekad lalu sebelum kerja baik pulih dilakukan.
“Bagi saya, bangunan lama ada nilai dan tenaga positif tersendiri. Kami mahu kekalkan sebahagian struktur asal kerana itu yang memberikan karakter kepada tempat ini,” katanya.
Menurut Tajul Haslam lagi, proses baik pulih premis itu juga mengambil masa hampir setahun dengan sebahagian pelaksanaan dilakukan sendiri olehnya termasuk melibatkan kemasan dalaman.

Katanya, kos baik pulih premis bangunan termasuk kerja bumbung dan beberapa bahagian utama mencecah sekitar antara RM60,000 hingga RM70,000, tidak termasuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.
“Saya seorang yang amat mementingkan kesempurnaan dan disebabkan itu, ada di antara kerja-kerja dalaman yang dilakukan sendiri bagi memberi kepuasan tersendiri dalam membangunkan perniagaan ini,” katanya.
Kata beliau lagi, pihaknya juga merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan itu dengan membuka operasi di ruang tingkat atas premis berkenaan mengikut konsep kafe di mana pelanggan berpeluang menikmati kopi, pastri dan pencuci mulut secara lebih santai.
Dalam masa sama, dia turut merancang mewujudkan sebuah galeri mini yang menghimpunkan koleksi-koleksi seni lama, gambar dan lukisan di premis berkenaan.
“Usaha ini selari dengan matlamat menjadikan Rusty & Co bukan sekadar lokasi makan tetapi sebuah destinasi persinggahan yang menawarkan pengalaman tersendiri kepada pengunjung,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, Rusty & Co mampu memuatkan seramai antara 35 hingga 40 pelanggan pada satu-satu masa dengan tujuh pekerja yang mengendalikan operasi harian.
Katanya, restoran tersebut juga beroperasi pada setiap Isnin hingga Sabtu bermula pukul 3.30 petang hingga 10.30 malam.
“Majoriti pelanggan kami terdiri daripada penduduk tempatan, namun terdapat juga pengunjung luar termasuk dari Kuala Lumpur, Johor, Singapura dan banyak lagi. Selain itu, maklum balas positif diterima daripada pelanggan juga menjadi antara faktor utama yang membantu memperkenalkan Rusty & Co kepada lebih ramai pengunjung,” katanya. –UTUSAN




