Ibu, anak maut dalam perjalanan ke lapangan terbang, mahu pulang ke Indonesia

Ibu, anak maut dalam perjalanan ke lapangan terbang, mahu pulang ke Indonesia

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Dua wanita warga Indonesia yang maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jawa 2, di sini, pagi semalam, dipercayai dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu untuk pulang ke negara mereka selepas menziarahi ahli keluarga di Machang.

Mangsa berusia 67 tahun dan anak perempuannya berusia 45 tahun itu menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) bersama empat lagi ahli keluarga sebelum kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pagar surau sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Saari Yaacob berkata, kemalangan berlaku ketika SUV dipandu wanita berusia 41 tahun dari arah Tok Bok, Machang menghala ke Kota Bharu.

Katanya, selain pemandu, kenderaan itu dinaiki lima wanita termasuk dua yang maut serta seorang lelaki warga Indonesia, mereka berusia antara 34 hingga 67 tahun.

“Apabila tiba di simpang tiga hadapan SK Bukit Jawa 2, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas lalu merempuh pagar surau sekolah berkenaan.

“Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang di bahagian belakang yang berada di sebelah kiri dan kanan kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati semua mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke Indonesia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh, untuk bedah siasat manakala empat lagi mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Sementara itu, pengawal keselamatan SK Bukit Jawa 2, Ahmad Sidekky Abd Rahman, 50, berkata, dia antara individu terawal tiba di lokasi kejadian selepas terdengar dentuman kuat ketika suasana masih gelap.

“Semua mangsa dikeluarkan anggota bomba selepas pintu kenderaan tersepit. Hanya penumpang lelaki masih boleh bersuara ketika itu, manakala mangsa lain cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Tinjauan di Unit Perubatan Forensik HTA petang tadi mendapati belum ada ahli keluarga hadir untuk menuntut jenazah kedua-dua mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top