am@hmetro.com.my
Shah Alam: Polis sudah merakam percakapan empat individu berhubung kes liwat dan cabul dua pelajar lelaki di sebuah kolej, di sini, termasuk suspek dan bapanya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, selain suspek dan bapanya, polis turut merakam percakapan dua saksi yang juga pengadu.
Menurutnya, rakaman percakapan saksi lain yang berkaitan sedang diatur bagi melengkapkan siasatan.
“Hasil semakan awal mendapati suspek berkhidmat di kolej terbabit selama kira-kira dua tahun.
“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada kakitangan kolej, pihak pengurusan tidak membuat semakan rekod lampau jenayah semasa proses pengambilan bekerja, menyebabkan mereka tidak mengetahui bahawa suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan seksual.
“Rakaman percakapan pihak pengurusan kolej akan diambil bagi mengesahkan perkara terbabit dan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sarudin berkata, suspek kini direman hingga 10 Julai ini dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Ini termasuk melengkapkan rakaman percakapan saksi, bukti digital serta laporan perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis berjaya menahan suspek pada 12.01 tengah malam susulan laporan dua remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga pelajar di sebuah kolej di Glenmarie berhubung kes terbabit.
Siasatan polis mendapati mangsa pertama mendakwa dicabul ketika di tandas asrama kolej berkenaan.
Seorang lagi mangsa mendakwa diliwat ketika di rumah suspek di Seksyen 18, Shah Alam.
Semakan mendapati suspek yang berusia lingkungan 30-an itu mempunyai satu rekod jenayah lampau kesalahan amang seksual terhadap kanak-kanak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




