Alhamdulillah lega masalah kewangan bakal hilang – Mohamad Solihin

Alhamdulillah lega masalah kewangan bakal hilang – Mohamad Solihin

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kekangan kewangan yang dihadapi Mohamad Solihin Mohd Nasir untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi panggilan video yang berlangsung kira-kira 15 minit pada 1 tengah hari tadi, Asyraf Wajdi memberi jaminan akan membantu Mohamad Solihin, 19, memandangkan remaja itu bekas pelajar MRSM Jeli.

Asyraf memberi dua pilihan sama ada Mohamad Solihin berminat meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) atau tetap dengan pilihannya untuk ke Universiti Al-Azhar.

“Jika memilih untuk ke (Universiti) Al-Azhar, Solihin perlu mengambil kursus Bahasa Arab dan kami (MARA) akan uruskannya.

“Harap Solihin tidak terlalu memikirkan masalah yang dihadapi sebab kami akan bantu memandangkan dia bekas pelajar MARA dan juga anak yatim, memang diberi keutamaan,” katanya.

Dalam panggilan video itu juga, Asyraf Wajdi cuba menguji hafazan al-Quran Mohamad Solihin secara rambang atau istilah yang selalu digunakan adalah ‘tebuk Quran’.

Secara berseloroh, Asyraf Wajdi mencabar jika Mohamad Solihin boleh menyambung bacaan Surah Al-Baqarah, maka remaja itu layak menerima bantuan yang akan diberikan nanti dan dia berjaya membaca ayat suci dengan lancar.

Selain itu, Asyraf Wajdi menasihatkan Mohamad Solihin agar tidak meninggalkan amalan membaca al-Quran, solat tahajud serta mengamalkan doa atau zikir Al-Mathurat untuk kelancaran hidup.

“Kalau sudah berjaya suatu hari nanti, Solihin jangan lupakan emak dan adik beradik. Apabila berada di atas, jangan lupakan rumput tempat kita berpijak,” katanya.

Sementara itu Mohamad Solihin meluahkan rasa lega kerana masalah kewangan yang dihadapinya bakal hilang apabila mendapat perhatian pihak MARA.

Dia yang dijangka berangkat ke Mesir pada penghujung Ogos ini berkata, jika sebelum ini impiannya untuk melanjutkan pengajian ke Mesir dan bergelar doktor seakan samar, tapi kini sudah jelas laluannya.

“Sangat lega kerana dapat perhatian dari datuk (Asyarf Wajdi) dan walaupun diminta untuk ambil kursus Bahasa Arab sekalipun, saya sanggup demi mencapai cita-cita ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top