Vancouver: Switzerland menjangkakan pertembungan sengit menentang Colombia pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, yang turut dijangka panas di dalam dan luar padang, Rabu ini.
Pemain tengah Switzerland, Ardon Jashari, menyifatkan pertembungan di Atlanta itu sebagai antara ujian paling sukar dalam kejohanan, lebih-lebih lagi selepas pengalaman berdepan suasana penyokong tuan rumah Kanada pada saingan kumpulan.
Switzerland sebelum ini menewaskan Kanada 2-1 dalam suasana stadium yang didominasi penyokong lawan, dan Jashari menjangkakan situasi sama, malah mungkin lebih mencabar apabila berdepan Colombia.
“Kami rasakan tekanan itu paling kuat ketika menentang Kanada kerana 90 peratus stadium menyokong mereka. Kali ini mungkin lebih istimewa,” katanya.
“Penyokong Colombia juga sangat beremosi seperti di atas padang. Kami pernah merasainya ketika menentang Brazil di Qatar. Sekarang ini situasi kalah mati, jadi ia pasti lebih panas,” katanya.
Dalam masa sama, Jashari menegaskan Switzerland tidak terlalu memikirkan status pilihan sebaliknya memberi tumpuan kepada prestasi sendiri bagi memastikan kemaraan ke suku akhir.
Switzerland yang beraksi di Piala Dunia buat kali keenam berturut-turut sering menunjukkan konsistensi mara ke peringkat kalah mati, namun masih bergelut untuk melepasi pusingan 16 terbaik sejak beberapa edisi lalu.
Mereka disingkirkan pada peringkat itu pada edisi 2006, 2014, 2018 dan 2022, manakala satu-satunya kegagalan mara berlaku pada 2010.
Penyerang Switzerland, Ruben Vargas, dalam masa sama memuji impak pemain muda Johan Manzambi yang menjadi antara watak penting ketika menewaskan Algeria 2-0 pada pusingan 32 terbaik, kemenangan yang menamatkan penantian 88 tahun negara itu untuk kemenangan kalah mati.
“Pada usianya (20 tahun), dia sudah menunjukkan kemampuan luar biasa dengan sumbangan gol dan bantuan jaringan. Dia mempunyai masa depan yang sangat cerah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




