England kini sedia hadapi ancaman Haaland

England kini sedia hadapi ancaman Haaland

Kansas City: England melangkah ke suku akhir Piala Dunia bukan sekadar dengan kemenangan ke atas Mexico, malah membawa bersama keyakinan baharu bahawa mereka mampu mengharungi perlawanan sukar apabila keadaan tidak memihak kepada mereka.

Skuad kendalian Thomas Tuchel menewaskan tuan rumah bersama itu 3-2 di Stadium Azteca meskipun terpaksa beraksi lebih 30 minit dengan 10 pemain selepas Jarell Quansah dilayangkan kad merah.

Di hadapan hampir 80,000 penyokong Mexico dan dalam keadaan altitud tinggi, England bertahan dengan penuh disiplin hasil aksi cemerlang Jude Bellingham, kepimpinan Harry Kane serta semangat juang seluruh pasukan.

Walaupun bukan mempamerkan persembahan sempurna apabila Mexico menguasai beberapa fasa permainan dan berkali-kali mengancam kubu England, penjaga gol Jordan Pickford tampil menyelamatkan keadaan dengan beberapa aksi cemerlang, manakala rakan sepasukannya sanggup mempertaruhkan badan untuk menghalang setiap percubaan lawan.

Bagi Tuchel, kemenangan itu terhasil bukan kerana penguasaan permainan, sebaliknya kemampuan pasukannya menyesuaikan taktikal mengikut situasi.

“Kami tetap komited dengan corak tekanan tinggi, tetapi kami perlu bijak memilih masa yang sesuai. Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan sepanjang masa,” katanya.

England mengurangkan tekanan tinggi yang biasa diamalkan dan memilih bertahan secara lebih tersusun di bahagian tengah bagi menjimatkan tenaga sebelum melakukan serangan balas pantas.

Pendekatan itu membuahkan hasil apabila Declan Rice memulakan gerakan sebelum hantaran lintang Bukayo Saka disudahkan Bellingham.

Tidak sampai dua minit kemudian, Elliot Anderson merampas bola sejurus sepak mula dan England sekali lagi menghukum Mexico.

Bagaimanapun, kemenangan itu turut mendedahkan kelemahan England di bahagian pertahanan yang pasti menarik perhatian Norway menjelang aksi suku akhir.

Norway hadir dengan keyakinan tinggi selepas mengejutkan Brazil dan memiliki senjata utama menerusi Erling Haaland serta kreativiti Martin Odegaard.

Sebarang kelekaan yang dipamerkan England ketika bertemu Mexico mampu dihukum oleh jentera serangan Scandinavia itu.

Namun England boleh mengambil semangat daripada kemampuan mereka menyesuaikan corak permainan selepas kehilangan Quansah.

Mereka terus mengancam menerusi serangan balas, dengan Anthony Gordon memenangi sepakan penalti yang disempurnakan Kane sebelum Tuchel menukar formasi kepada lima pertahanan dengan memasukkan Dan Burn bagi mengekang asakan udara Mexico.

Kemenangan ke atas Mexico boleh dianggap antara aksi kalah mati terbaik England di Piala Dunia moden, tetapi tugas sebenar masih menanti.

Mexico menguji ketahanan mental mereka, manakala Norway bakal menguji sejauh mana impian The Three Lions untuk muncul juara mampu direalisasikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top