New York: Persatuan Bolasepak Brazil (CBF) mengesahkan Carlo Ancelotti kekal sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan sehingga Piala Dunia 2030 biarpun Brazil tersingkir seawal pusingan 16 terbaik selepas tewas 1-2 kepada Norway.
Kekalahan kepada Norway yang dipacu dua jaringan Erling Haaland itu memanjangkan penantian Brazil untuk menjulang gelaran dunia keenam kepada sekurang-kurangnya 28 tahun sekali gus mencetuskan kritikan hebat terhadap prestasi pasukan dan keputusan taktikal Ancelotti.
Pengarah bola sepak CBF, Rodrigo Caetano bagaimanapun menegaskan badan induk itu tidak akan mengubah haluan hanya kerana satu kegagalan.
“Beliau kekal jurulatih kami sepanjang kitaran ini. Antara punca utama kami gagal di Piala Dunia ialah kerana tidak mempunyai bimbingan yang stabil dan berterusan untuk mempersiapkan pasukan. Kami tidak mahu mengulangi kesilapan sama,” katanya.
Ancelotti yang menyambung kontraknya sehingga Piala Dunia 2030 pada Mei lalu dikritik kerana membenarkan Bruno Guimaraes mengambil sepakan penalti awal yang gagal disempurnakan selain mengekalkan Casemiro dan Danilo sehingga tamat perlawanan walaupun kedua-duanya dilihat bergelut dengan kepantasan permainan.
Keputusan memasukkan Neymar pada pertengahan babak kedua turut dipersoalkan apabila penyerang berusia 34 tahun itu gagal mengubah rentak permainan, selain hanya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Akhbar O Globo turut mengkritik tindakan Neymar yang bertikam lidah dengan penjaga gol Norway selepas menjaringkan penalti itu walaupun Brazil masih berada di ambang penyingkiran.
Menurut akhbar berkenaan, tindakan Neymar menggambarkan seorang pemain yang masih mahu menjadi watak utama walaupun ketika pasukannya sedang gagal.
Pengacara SporTV, Andre Rizek pula menyifatkan bola sepak Brazil kini berada pada tahap paling rendah dalam sejarah selepas skuad itu semakin biasa mengalami kekalahan kepada pasukan seperti Senegal, Jepun, Maghribi, Colombia dan Argentina.
Sementara itu, Folha de Sao Paulo melaporkan Brazil hanya menguasai 35 peratus penguasaan bola ketika menentang Norway, rekod terendah mereka dalam perlawanan Piala Dunia sejak statistik itu mula direkodkan pada 1966.
Kini persoalan terbesar ialah sama ada kegagalan itu akan menjadi satu lagi luka buat Brazil atau titik permulaan kepada kebangkitan baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




