‘KJ kata hanya UMNO-BN boleh jaga kepentingan Melayu, itu tak tepat’ – Lian Ker

‘KJ kata hanya UMNO-BN boleh jaga kepentingan Melayu, itu tak tepat’ – Lian Ker

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali lagi dilihat mempamerkan ‘kebijaksanaan politiknya’ dengan memainkan naratif lama bahawa hanya parti itu mampu mempertahankan kepentingan orang Melayu.

Bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, dakwaan sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah sudah tidak lagi relevan.

Menurut beliau, ia mungkin berkesan pada era 60 dan 70-an ketika ramai orang Melayu berdepan kekurangan dari segi ekonomi serta ketidaktentuan politik.

Namun, bagi Lian Ker, Malaysia telah berubah ketara sepanjang enam dekad lalu yang mana politik semakin matang, kelas pertengahan Melayu berkembang dan jaminan perlembagaan kukuh serta berakar.

“Ironinya apabila UMNO semakin dominan dalam politik dan pentadbiran negara, kuasa juga semakin tertumpu. Penumpuan kuasa politik yang disertai penyalahgunaan kuasa, amalan naungan dan rasuah akhirnya menyebabkan ramai berpaling daripada UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Retorik Khairy mungkin berkesan untuk menarik sokongan sebahagian akar umbi UMNO, tapi ia tidak mampu bertahan apabila diuji berdasarkan realiti politik, penelitian perlembagaan mahupun fakta sejarah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bekas Naib Presiden MCA itu berkata demikian mengulas kenyataan Khairy Jamaluddin atau KJ pada Ahad bahawa UMNO-BN sahaja boleh menjaga kepentingan Melayu, yang didakwa gagal dilakukan oleh Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan.

KJ turut menggesa pengundi Melayu-Islam di Negeri Sembilan untuk kembali memberikan sokongan kepada BN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Merujuk komposisi kaum wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN), Khairy berkata orang Melayu dan Islam bernasib baik kerana 14 wakil rakyat UMNO pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sebelumnya.

Beliau bagaimanapun tidak berniat membangkitkan soal perkauman, namun merasakan bahawa sudah tentu wakil rakyat kaum lain akan memperjuangkan hak mereka.

Mengulas lanjut, kata Lian Ker, prinsip muafakat, tolak ansur, kesederhanaan, toleransi dan perpaduan dalam kepelbagaian yang membolehkan BN muncul sebagai antara gabungan pemerintah dipilih secara demokratik paling lama di dunia, bukannya retorik perkauman.

Namun jelasnya, apabila UMNO secara beransur-ansur meninggalkan pendekatan sederhana dan beralih kepada naratif politik lebih eksklusif antara lain disimbolkan melalui kontroversi ‘keris’, parti itu mula menjauhkan komuniti yang sekian lama menjadi tonggak kekuatan BN.

Tambah beliau, keyakinan pengundi bukan Melayu merosot, daya tarikan BN sebagai gabungan berbilang kaum semakin pudar, malah dominasi pilihan rayanya terus terhakis.

“Ironinya, retorik berasaskan kaum ini tidak banyak meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO, tetapi jelas mempercepatkan kehilangan sokongan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain.

“Dari sudut politik, ia membawa kos tinggi tanpa memberikan pulangan pilihan raya yang setimpal,” ujarnya.

Sementara itu, Lian Ker berpendapat bahawa rasuah bukan isu yang hanya muncul ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas beliau, dakwaan mengenai rasuah wujud sejak beberapa dekad lalu, termasuk ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bezanya pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib, isu rasuah menjadi sasaran kempen politik yang tersusun serta berterusan sehingga akhirnya menjatuhkan BN.

“Pakatan berjaya menjenamakan slogan ‘BN’ sebagai ‘Be End’, satu naratif yang mendapat sambutan ramai pengundi.

“Lebih penting, orang Melayu tidak seharusnya ditakut-takutkan dengan tanggapan bahawa setiap pilihan raya merupakan referendum terhadap kedudukan mereka di sisi Perlembagaan,” tegasnya.

Jelasnya lagi, kedudukan istimewa orang-orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta kepentingan sah Sabah dan Sarawak termaktub dengan kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menekankan bahawa peruntukan-peruntukan tersebut tidak bergantung kepada nasib mana-mana parti politik.

Lian Ker mendakwa, ironinya pengurangan paling ketara terhadap kuasa perlembagaan Raja-Raja Melayu bukan berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, sebaliknya sewaktu UMNO berada di kemuncak penguasaan politik di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

“Kerajaan yang diterajui UMNO ketika itu meminda perlembagaan bagi mentakrifkan semula kuasa dan kedudukan undang-undang Raja-Raja Melayu.

“Sejarah sepatutnya menjadi peringatan bahawa tiada mana-mana parti politik boleh secara yakin mendakwa mereka mempunyai monopoli dalam mempertahankan institusi Melayu.

“Cabaran sebenar dihadapi orang Melayu hari ini bukanlah konspirasi yang diulang-ulang setiap kali musim pilihan raya tapi ia melibatkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, tadbir urus lemah, kemerosotan mutu pendidikan, peningkatan kos sara hidup, daya saing ekonomi dan lain-lain,” ulasnya.

Atas dasar itu, Lian Ker berpandangan bahawa Malaysia memerlukan wacana politik yang lebih matang.

“Persaingan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu adalah sesuatu yang sah dalam sistem demokrasi.

“Tetapi, menjadikan kebimbangan terhadap perlembagaan sebagai senjata politik selain menggambarkan UMNO sebagai satu-satunya pelindung hak orang Melayu bukan sahaja tidak tepat dari sudut sejarah, malah tidak berasaskan prinsip perlembagaan,” kata Lian Ker.

Scroll to Top