Dituduh jadi pembuli, Sera Melissa alami anxiety akibat fitnah akaun palsu

Dituduh jadi pembuli, Sera Melissa alami anxiety akibat fitnah akaun palsu

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Sera Melissa mengakui tuduhan sebagai pembuli oleh netizen baru-baru ini benar-benar mengganggu kehidupannya lebih-lebih lagi, apabila perkara itu adalah fitnah yang tidak berasas.

Sera, 27, ketika dihubungi berkata, situasi itu menyebabkan dia berdepan kebimbangan (anxiety) walaupun tidak diserang secara fizikal.

“Ya, memang mengganggu. Saya jadi anxiety, kemudian rasa tak seronok. Rasa terganggu dengan apa yang berlaku.

“Kalau serangan pula, boleh tahan banyak juga. Bukan hanya di satu platform, tetapi pelbagai platform termasuklah Instagram, TikTok dan Threads,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia menyekat (block) akaun-akaun individu yang menyerangnya di media sosial, Sera berkata, dia lebih memilih untuk mengelakkan membaca komen-komen negatif.

“Saya tak ada sekat sebab saya tak buat benda itu (membuli). Benda itu memang tak pernah terjadi dan tak benar sama sekali.

“Walaupun saya cuba sehabis baik untuk elakkan membaca komen negatif, tapi tentunya kadang-kadang kita akan buka juga kan.

“Bagaimanapun, semua serangan komen negatif itu hanya di ruangan komen sahaja. Kalau di DM (mesej), rasanya hanya ada beberapa sahaja,” katanya.

Tambah pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan 2 ini lagi, keluarganya turut terganggu dengan fitnah yang tular itu.

“Keluarga saya tentunya sangat terkejut kerana ini kali pertama saya berdepan perkara sebegini sepanjang menjalani kehidupan sebagai anak seni,” katanya.

Ditanya sama ada fitnah yang berlaku itu adalah salah satu sabotaj terhadap dirinya, Sera juga masih dalam keadaan keliru.

“Susah nak cakap sebab saya pun tak tahu apa motif individu itu. Akaun Threads itu juga adalah akaun palsu yang dibuka, dan hantaran pertama adalah fitnah terhadap saya,” katanya.

Sabtu lalu, Sera membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top