Shah Firdaus akui Beasley sukar diganti

Shah Firdaus akui Beasley sukar diganti

NILAI: Pengunduran Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley selepas kontraknya berakhir pada Januari tahun depan disifatkan sebagai kehilangan besar buat skuad berbasikal trek negara yang selama ini bergantung kepada sentuhan jurulatih berpengalaman dari Australia itu.

Jaguh pecut negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom berkata, persoalan paling utama ketika ini bukan mengenai pemergian Beasley, sebaliknya siapakah individu yang benar-benar layak mengisi kekosongan tersebut.

“Kalau tanya saya, saya nak tanya balik dekat orang lain, siapa? Kalau dia nak ganti John (Beasley), then siapa? Siapa yang mampu untuk ganti dia?

“Itu soalan saya. Jangan tanya saya, tanya orang yang nak ganti dia tu, nak gantikan dengan siapa? Jika ada yang kata harga bayaran dia tinggi, berapa pula kita sanggup bayar untuk jurulatih yang lebih baik,” katanya.

Menurut pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia itu, Beasley bukan sekadar individu yang menyusun program latihan, malah sudah dianggap seperti seorang bapa selepas bertahun-tahun membimbing barisan pelumba negara di pentas antarabangsa.

“Saya kalau cakap pasal John ini, saya agak sedih sikitlah kerana lambat-laun kita memang kena terima hakikat akan kehilangan dia, tetapi bagi saya yang sudah lama bersama, dia bukan sekadar jurulatih, malah seperti bapa kepada kami semua.

“Dalam perlumbaan ini pun saya baru tahu pada saat akhir nama dia tiada bersama untuk Sukan Komanwel dan ia memang mencabar kerana kebanyakan aspek taktikal kami selama ini banyak bergantung kepada kepakaran dia,” katanya.

Shah Firdaus yang ditemui ketika lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini bagaimanapun menegaskan para pelumba perlu terus memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi temasya itu tanpa terlalu memikirkan perubahan yang bakal berlaku.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri turut mengakui pemergian Beasley bakal meninggalkan impak yang amat besar selepas lebih dua dekad tokoh berusia 64 tahun itu menjadi arkitek kepada kebangkitan sukan berbasikal trek Malaysia.

“Berat juga sebab saya sudah bekerja dengan dia selama 16 tahun dan kalau boleh memang kami tidak mahu dia pergi, tetapi saya hormati keputusan yang dibuat kerana setakat ini saya sendiri belum nampak siapa yang mampu mengambil alih tempatnya.

“Impak dia terlalu besar kerana kewujudan velodrom ini juga hasil perjuangan Beasley dan apa yang dinikmati atlet hari ini adalah daripada asas kejayaan yang dibinanya selama lebih 20 tahun,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari mengesahkan Beasley telah memaklumkan hasratnya untuk menamatkan tugas secara terhormat selepas lebih 20 tahun menabur bakti, namun bersetuju meneruskan khidmat sehingga penghujung tahun ini bagi memastikan persiapan atlet ke temasya utama tidak terjejas.

Scroll to Top