Messi satu fenomena luar biasa – Klose

Messi satu fenomena luar biasa – Klose

Berlin: Bekas pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, Miroslav Klose mengucapkan tahniah kepada Lionel Messi menerusi panggilan telefon selepas bintang Argentina itu memecahkan rekod miliknya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bekas penyerang Jerman itu sebelum ini memegang rekod jaringan terbanyak dalam sejarah Piala Dunia lelaki dengan 16 gol sebelum Messi mengatasinya pada kejohanan kali ini.

Kapten Argentina itu kini sudah mengumpul 20 gol, manakala penyerang Perancis, Kylian Mbappe berada di tangga kedua dengan 19 gol.

“Messi adalah satu fenomena luar biasa. Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, pernah menjadi rakan sepasukan saya di Lazio dan kami masih berhubung rapat.

“Beliau mengatur panggilan telefon antara saya dan Messi selepas dia menyamai rekod jaringan Piala Dunia saya. Ia satu detik yang sangat menyentuh perasaan,” kata Klose.

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu sesi bual bicara berkaitan Piala Dunia bersama kelab divisyen kedua Jerman, Nuremberg yang kini dibimbingnya sebagai jurulatih.

Kelab berkenaan hanya menyiarkan kenyataan terbabit pada Selasa.

Klose turut mendedahkan bahawa hubungan beliau dengan Messi sentiasa terjalin dalam suasana penuh hormat sejak kedua-duanya masih aktif beraksi di pentas antarabangsa.

“Sudah tentu Messi dan saya pernah beberapa kali bertemu sebagai lawan di atas padang. Ia sentiasa berlangsung dalam suasana baik dan penuh rasa hormat.

“Namun panggilan telefon itu adalah kali pertama kami berbual dengan lebih panjang mengenai perkara di luar bola sepak.

“Dia juga memberitahu akan menghantar jersi yang ditandatanganinya kepada saya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top