Miami: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuka siasatan susulan dakwaan berlaku penderaan berunsur perkauman membabitkan pempengaruh media sosial Amerika Syarikat (AS), IShowSpeed, dan seorang penyokong ketika Argentina menewaskan Cape Verde 3-2 pada Sabtu lalu.
IShowSpeed yang mempunyai 57 juta pelanggan di YouTube dan 53 juta pengikut di TikTok, menyiarkan secara langsung beberapa perlawanan sepanjang kejohanan itu, malah Presiden FIFA, Gianni Infantino serta bekas penyerang Barcelona dan AC Milan, Zlatan Ibrahimovic turut pernah muncul dalam siaran langsungnya.
Badan bola sepak dunia itu berkata pihaknya dimaklumkan mengenai satu insiden yang didakwa berlaku di Stadium Hard Rock, Miami pada 3 Julai lalu ketika aksi pusingan 32 terbaik berlangsung, sebelum ‘segera memulakan siasatan’.
Pempengaruh berusia 21 tahun itu, yang nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr, dapat dilihat dalam rakaman di saluran YouTubenya memakai jersi Cape Verde sebelum berdepan seorang penyokong Argentina di tempat duduk penonton.
“Piala Dunia FIFA adalah perayaan perpaduan, kepelbagaian dan rasa hormat.
“Ia menghimpunkan masyarakat, budaya dan komuniti dari seluruh dunia, dan sesiapa sahaja yang bertindak bertentangan dengan nilai-nilai ini tidak dialu-alukan dalam bola sepak,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
Dakwaan insiden berunsur perkauman terhadap IShowSpeed itu berlaku beberapa hari selepas penyerang Perancis, Kylian Mbappe menyifatkan seorang senator Paraguay sebagai “keji” dan tidak layak memegang jawatan selepas mengeluarkan beberapa kenyataan berunsur perkauman yang memperlekeh asal usul serta latar belakang pendidikannya.
Celeste Amarilla daripada Parti Liberal Radikal Paraguay memuat naik komen berkenaan di platform X selepas negaranya tewas kepada Perancis pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) kemudian mengumumkan rancangan untuk memfailkan tindakan undang-undang jenayah, sambil menyifatkan kenyataan Amarilla sebagai “amat menjijikkan dan tidak boleh diterima”.
© New Straits Times Press (M) Bhd




