Isu privasi muslimat diambil serius, TICC tambah papan tanda pelbagai bahasa dan pemantauan keselamatan

Isu privasi muslimat diambil serius, TICC tambah papan tanda pelbagai bahasa dan pemantauan keselamatan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Komuniti Islam TRX (TICC) atau sebelum ini dikenali sebagai Surau Al-Nur@TRX akan memperkukuhkan langkah-langkah operasi sepanjang proses naik taraf di pusat berkenaan.

TICC dalam kenyataan kepada Harian Metro hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai tahap keselamatan terutama golongan wanita di pusat berkenaan yang menjadi kebimbangan pengunjung.

“TICC memperkukuhkan langkah-langkah operasi melalui penambahan ciri-ciri privasi, pemasangan papan tanda dan poster serta peringatan dalam pelbagai bahasa di sekitar ruang solat dan wuduk muslimat.

“Pusat ini juga meningkatkan pemantauan oleh petugas keselamatan serta pengumuman berkala kepada pengunjung pada waktu solat,” katanya.

Terdahulu, satu hantaran berkaitan pusat berkenaan yang mendakwa surau terbabit tidak selamat untuk golongan wanita tular di media sosial, baru-baru ini.

Hantaran itu mendakwa ramai lelaki warga asing memasuki tempat mengambil wuduk wanita sekali gus menyebabkan aurat mereka terdedah.

Menurutnya, TICC sedang menjalani tambah baik reka bentuk dan naik taraf kemudahan khususnya di ruangan muslimat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang pihak TRX.

“Ia adalah supaya kami terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dan ahli komuniti bagi menjamin ruang yang selamat dan selesa untuk semua.

“Kami komited bagi menyediakan ruang ibadah yang selamat, selesa dan mesra kepada pengguna.

“Keselamatan, privasi dan keselesaan setiap pengunjung TICC adalah keutamaan kami terutamanya bagi jemaah muslimat,” katanya.

Selaras dengan aspirasi TRX untuk membangunkan sebuah daerah yang inklusif dan berteraskan komuniti, Surau Al-Nur@TRX dinaik taraf menjadi TICC pada 2025.

“Ia sekali gus memperluaskan peranannya bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai ruang pembelajaran, penglibatan masyarakat dan penganjuran pelbagai program komuniti.

“Kelas khat dan pelbagai aktiviti lain yang terbuka kepada keluarga, pengunjung serta masyarakat umum dilaksanakan menerusi inisiatif seperti Malam Langit.

“TICC akan terus memainkan peranan sebagai sebuah pusat komuniti yang menggalakkan pembelajaran, mengeratkan hubungan masyarakat dan memupuk semangat kebersamaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top