Nizam Laksamana utamakan keikhlasan, selesa jadi 'pekerja seni' dan contoh terbaik

Nizam Laksamana utamakan keikhlasan, selesa jadi 'pekerja seni' dan contoh terbaik

puterialia@hmetro.com.my

Batu Caves : Meletakkan keikhlasan sebagai perkara utama apabila bergelar anak seni, penyanyi rock 1990-an, Nizam Laksamana, berkongsi fasa matang kerjayanya yang kini lebih berpijak di bumi nyata demi menjaga imej keluarga.

Nizam atau nama sebenarnya, Mohd Nizam Pechok, 59, berkata, sebagai penyanyi, dia sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan perlu menjadi contoh yang baik buat keluarganya.

“Saya pun dah tua, rambut pun dah putih, takkan saya nak ‘rock’ sahaja? Anak-anak pun dah besar dan saya pun dah ada menantu. Takkan menantu nak tengok saya dengan imej begitu sampai bila-bila?

“Saya masih menyanyi, tetapi ada benda lain yang saya mahu lakukan. Saya mahu anak-anak dan keluarga bangga dengan saya.

“Saya mahu jadi contoh yang baik, biar anak-anak tahu walaupun saya ‘rock’, tetapi dalam masa sama, ada jiwa dan nilai baik yang saya bawa,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Nizam, dia tidak pernah mengaku dirinya hebat. Malah dia berada dalam industri seni ini disebabkan anugerah suara yang dikurniakan daripada Tuhan.

“Bukan nak kata saya bagus, tidak sama sekali. Saya tidak pernah mengaku diri ini hebat. Saya hanyalah seorang pekerja dalam industri ini dan Tuhan kurniakan anugerah suara untuk saya mencari rezeki.

“Orang mungkin tak kenal pun siapa saya, tetapi saya tetap menyanyi. Sekarang ini, saya masih menyanyi dan saya okey dengan keadaan sekarang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top