kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sambutan kebudayaan ikonik negara, Citrawarna 2026, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan budaya negara menerusi peningkatan kehadiran pelawat domestik dan antarabangsa sepanjang penganjurannya di Dataran Merdeka pada 24 hingga 26 Julai depan.
Berlangsung sempena kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), program yang membawa tema ‘Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa’ itu akan menghimpunkan pelbagai persembahan budaya, seni dan warisan dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.
Penganjuran oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Yes Travel & Holidays Sdn Bhd serta sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Warisan Kuala Lumpur itu turut dilihat mampu memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan, termasuk pengusaha hotel, agensi pelancongan dan peniaga tempatan.
Tourism Malaysia menerusi kenyataan berkata, sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung akan disajikan dengan empat komponen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Art).
“Citra Perarakan yang menjadi acara kemuncak pada 25 Julai dijangka menarik tumpuan ramai menerusi persembahan berskala besar membabitkan kontinjen dari seluruh negara yang menggabungkan elemen muzik, tarian dan penceritaan budaya,” katanya.
Sementara itu, Citra Rasa mengetengahkan kekayaan warisan kulinari tempatan menerusi pelbagai hidangan tradisional dan pengalaman gastronomi autentik.
Citra Budaya pula menampilkan persembahan tradisional serta aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia, manakala Citra Seni memberi ruang kepada penggiat industri kreatif mempamerkan hasil kraf tangan dan demonstrasi seni secara langsung.
Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna atau Colours of Malaysia menjadi antara produk pelancongan budaya utama negara yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Tourism Malaysia berkata, program itu bukan sahaja berupaya meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negara, malah menyokong pembangunan pelancongan inklusif, memperkasa komuniti setempat dan memperkukuh daya tahan industri pelancongan.
Bersempena penganjuran Citrawarna 2026, Tourism Malaysia turut menggalakkan hotel dan penyedia penginapan menawarkan kadar bilik istimewa, pakej promosi serta tawaran menarik kepada pengunjung.
Langkah itu dijangka dapat meningkatkan tempoh penginapan pelawat di ibu negara sekali gus memperluaskan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan yang meraikan budaya, kreativiti dan perpaduan rakyat Malaysia itu, manakala maklumat lanjut mengenai program akan diumumkan dari semasa ke semasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




