am@hmetro.com.my
Georgetown: Op Sarang Burung yang dijalankan di lima daerah negeri ini bukan hanya menemukan premis pejabat yang diubah suai menjadi bilik hotel, tetapi turut membongkar asrama haram dalam sebuah kilang.
Pemeriksaan mendapati asrama pekerja di Batu Maung itu tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa.
Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Alimaddia Bukri berkata, keseluruhan lapan premis diperiksa dalam operasi itu yang dilaksana bersepadu membabitkan pelbagai agensi.
Katanya, pemeriksaan kompleks komersial di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam menemukan premis berstatus pejabat yang dijadikan hotel dan didapati tiada permit kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kelulusan JBPM.
“Premis terletak di tingkat empat, menempatkan 29 bilik yang mana empat bilik tambahan dibina di atas bumbung (rooftop) dan tanpa laluan kecemasan.
“Hanya ada satu tangga tunggal yang boleh digunakan. Pengubahsuaian premis menjadi bilik secara haram bagi tujuan sewaan dan sebagainya atau lebih dikenali sebagai rumah sarang burung ini menjadi fenomena.
“Ia didorong oleh peningkatan permintaan terhadap rumah ataupun kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar tanpa menyedari boleh menjadi punca bencana sekiranya berlaku kebakaran,” katanya ditemui selepas operasi di sini, hari ini.
Menurutnya operasi itu membabitkan PDRM, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), berlangsung serentak di empat zon di lima daerah.
“Daripada keseluruhan premis yang diperiksa, 63 Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran dikeluarkan atas kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 bagi kesalahan laluan keluar atau tangga kecemasan diletakkan halangan, kerosakan pada alatan keselamatan kebakaran dan pemadam api tamat tempoh.
“Juga pemasangan keselamatan kebakaran yang tidak mencukupi seperti lampu kecemasan, tanda keluar, tiada pintu rintangan api dan lain-lain lagi.
“Jika notis itu tidak dipatuhi, pemilik premis boleh didakwa di mahkamah dan didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




