Geneva: Switzerland berpesta hingga lewat malam selepas melakar sejarah mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1954, sekali gus mencetuskan sambutan meriah di seluruh negara.
Kejayaan itu hadir selepas skuad Switzerland menewaskan Colombia 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi pusingan 16 terakhir di Vancouver, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menempah pertemuan suku akhir menentang juara bertahan, Argentina di Kansas City, Ahad ini, dengan Switzerland kini hanya dua kemenangan lagi untuk melangkah ke final.
Di Switzerland, aksi yang berakhir hampir jam 1 pagi waktu tempatan itu mencetuskan sambutan spontan apabila bunyi hon kenderaan, loceng dan bunga api bergema sehingga lewat malam.
Presiden Switzerland, Guy Parmelin menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian bersejarah sambil memuji pemain dan barisan kejurulatihan atas usaha mereka.
“Tahniah kepada seluruh pasukan dan semua kakitangan atas keputusan bersejarah ini.
“Saya menikmatinya, ia mendebarkan. Kini ia adalah langkah pertama menuju final,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Menteri Sukan Switzerland, Martin Pfister turut memuji pencapaian pasukan itu yang disifatkan memberi inspirasi kepada seluruh negara serta menjadi contoh kepada generasi atlet akan datang.
Media tempatan turut meraikan kejayaan itu apabila akhbar Tribune de Geneve menamakan kemenangan berkenaan sebagai “Magik”, manakala Le Temps menyifatkan pasukan Switzerland kini bersedia melangkah lebih jauh.
Neue Zurcher Zeitung pula menyifatkan skuad kebangsaan itu mencipta sejarah Piala Dunia terbaik mereka selepas berjaya mengatasi pelbagai cabaran dengan barisan pemain diketuai Granit Xhaka dan Ricardo Rodriguez.
Akhbar Blick berkata, Switzerland bangkit daripada kritikan serta kekecewaan lalu untuk berkembang menjadi pasukan yang lebih matang dan bersatu.
“Generasi ini akhirnya tidak lagi dinilai berdasarkan apa yang mungkin mereka capai, tetapi berdasarkan kejayaan yang berjaya direalisasikan,” lapor akhbar itu.
Sambutan turut dirasai di zon peminat di Nyon apabila penyokong Switzerland meraikan kemenangan penuh debaran itu.
Seorang penyokong wanita berkata, dia hampir mengalami serangan jantung beberapa kali, manakala seorang lagi menyifatkan detik itu sebagai pengalaman luar biasa dan bersejarah.
Switzerland sebelum ini hanya pernah mara ke suku akhir Piala Dunia ketika menjadi tuan rumah pada 1954, namun tewas 5-7 kepada jiran mereka, Austria dalam perlawanan dengan jumlah jaringan tertinggi dalam sejarah kejohanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




