Foxborough: Rayuan Perancis terhadap kad kuning yang dilayangkan kepada Michael Olise ketika kemenangan ke atas Paraguay dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia ditolak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengesahkan keputusan itu pada Rabu, sehari sebelum pertemuan suku akhir menentang Maghribi di Stadium Gillette.
“Kad kuning itu tidak berubah. Kami dimaklumkan FIFA pagi ini bahawa keputusan itu dikekalkan,” kata Deschamps kepada pemberita.
Olise yang menjadi antara pemain menyerlah sepanjang kejohanan menerima kad kuning pada penghujung aksi tegang menentang Paraguay di Philadelphia selepas terbabit dalam pertelingkahan dengan Matias Galarza.
Rakaman ulang tayang menunjukkan sentuhan antara kedua-dua pemain sangat minimum.
Bintang Bayern Munich itu dilihat meletakkan jari di depan mulut sebelum pemain Paraguay berkenaan terjatuh sambil mendakwa terkena pada bahagian muka.
Keputusan FIFA itu menyebabkan Olise kini perlu lebih berhati-hati kerana jika menerima satu lagi kad kuning ketika menentang Maghribi, dia akan digantung untuk aksi separuh akhir berdepan sama ada Sepanyol atau Belgium.
Selain Olise, Bradley Barcola dan Manu Kone turut berdepan risiko penggantungan selepas masing-masing menerima kad kuning ketika menentang Paraguay.
Dalam perkembangan kecederaan, Deschamps memaklumkan keadaan pemain tengah, Aurelien Tchouameni bertambah baik selepas diketepikan ketika menentang Paraguay akibat kecederaan paha.
“Aurelien semakin baik. Saya tidak boleh katakan lebih daripada itu. Mungkin dia akan menyertai latihan hari ini tetapi saya perlu melihat keadaannya dahulu. Pemain lain semuanya tersedia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




