sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Fenomena ‘demam’ Piala Dunia 2026 kini diwarnai satu insiden melucukan apabila wujud trend beberapa pempengaruh wanita antarabangsa yang memiliki wajah mirip seperti penyerang sensasi Norway, Erling Haaland sehingga menggegarkan media sosial.
Keadaan itu mencetuskan kebingungan apabila ramai peminat bola sepak tertipu bulat-bulat dan salah faham menganggap mereka sebagai kakak kandungnya.
Hakikatnya, kedua-dua pempengaruh wanita berkenaan sama sekali tiada sebarang hubungan tali persaudaraan dengan penyerang prolifik tersebut memandangkan kakak kandung Haaland yang sebenar bernama Gabrielle Braut Haaland.
Tumpuan utama netizen ketika ini terarah kepada model asal Sweden yang dikenali sebagai Julia Grop menerusi akaun Instagram @julieamiini yang memiliki 888,000 pengikut.
Tindakannya memuat naik siri video parodi meniru ekspresi wajah, cara berjalan serta gaya rambut Haaland bukan sahaja menjadi, malah merekodkan jumlah tontonan keseluruhan yang melonjak melebihi 100 juta di media sosial.
Tidak cukup dengan itu, model berusia 24 tahun dari Rusia, Anastasia Kostromitina menerusi akaun Instagram @nas_kos yang mempunyai 72,600 pengikut turut menjadi bualan gara-gara wajahnya saling tidak tumpah seperti pemain terbabit.
Klip video pendek memaparkan ibunya sendiri menyamakan kemiripan wajah wanita itu dengan bintang berbisa tersebut benar-benar menggegar dunia maya sehinggakan peminat berseloroh menggelarnya sebagai ‘versi wanita’ Haaland.
Menjengah ke ruangan komen, jelas kelihatan tahap kebingungan netizen apabila persoalan adakah dia kakak kepada Haaland mendapat 143,000 tanda suka, manakala komen menyatakan mereka terpisah ketika lahir disokong oleh 45,900 pengguna lain.
Situasi bertambah rancak apabila jenama sukan terkemuka, Nike Football sempat meninggalkan komen menyifatkan mereka seolah-olah pasangan kembar, sebelum bintang utama Perancis, Kylian Mbappe sendiri masuk campur dengan membalas menggunakan gambar wajah Haaland sebenar.
Biarpun kecoh dengan kisah kembar jadian yang melucukan di luar padang ini, tumpuan Haaland tetap fokus bersama skuad kebangsaan Norway bagi meneruskan kempen Piala Dunia 2026.
Kelibat penyerang bertubuh sasa itu dijangka kembali mengganas apabila Norway dijadualkan turun dalam pertembungan sengit menentang England bagi aksi suku akhir di Stadium Miami, Amerika Syarikat pada Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




