Pemilik premis 'disko' tepi sungai dikompaun RM25,000

Pemilik premis 'disko' tepi sungai dikompaun RM25,000

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan notis kesalahan dan tawaran kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik sebuah premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan susulan tular mengenai satu program hiburan tanpa lesen sah yang diadakan di restoran itu.

Tindakan itu diambil susulan penganjuran program hiburan bertemakan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an yang diadakan pada 3 Julai lalu sebelum ia tular di media sosial sejak kelmarin.

Notis berkenaan dikeluarkan semalam menerusi satu perjumpaan secara bersemuka yang membabitkan pegawai daripada Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI bersama pemilik premis serta penganjur program bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran acara itu.

Sekiranya gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

MPKB-BRI menerusi satu kenyataan berkata, pertemuan itu bertujuan menyiasat serta memberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pihak penganjur khususnya mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.

“Selain itu, beberapa kompaun lain turut dikeluarkan terhadap pemilik premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah sebagaimana diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.

“Majlis menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat pelesenan bagi memastikan setiap aktiviti hiburan serta perniagaan dijalankan mengikut peraturan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, program hiburan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an di restoran popular di tepi Sungai Kelantan baru-baru ini, dikesan tidak mempunyai lesen hiburan.

Program hiburan berkenaan yang dipercayai bercampur antara lelaki dengan wanita itu tular di media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, program hiburan berkenaan dianjurkan tanpa lesen dan boleh dikenakan tindakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top