am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tidak berpuas hati dan memendam rasa selepas mendakwa dibuli dipercayai menjadi punca suspek menikam pelajar di sekolah di Banting, Kuala Langat, dekat sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil keterangan beberapa individu setakat ini mendapati tidak menjurus ke arah perbuatan buli.
“Siasatan secara menyeluruh masih lagi berlangsung dan belum selesai. Pihak polis meminta masyarakat memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.
“Namun begitu hasil siasatan awal pada peringkat ini kita mendapati, alasan yang diberikan oleh suspek adalah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek.
“Namun, hasil keterangan-keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlaku kejadian buli,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontingen Selangor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, suspek dikatakan berdepan dengan isu tekanan dan mungkin masalah keluarga yang sedang dalam penilaian pakar kaunseling.
Berita lanjut menyusul
© New Straits Times Press (M) Bhd




