am@hmetro.com.my
Tawau: Ejen syarikat pelancongan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika menghantarnya ke destinasi tempahan menggunakan perkhidmatan e-hailing, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Mohd Shahremy Abdul Raset, 31, sebelum mensabitkannya atas pertuduhan yang dihadapi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berunsur seksual terhadap mangsa yang berusia 17 tahun (ketika kejadian) di dalam sebuah Perodua Myvi ketika dalam perjalanan ke sebuah resort antara jam 7.15 hingga 7.22 malam, 9 Disember 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menghubungi tertuduh bagi mendapatkan perkhidmatan e-hailing sebelum tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan berunsur seksual terhadapnya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjadi pencari nafkah tunggal keluarga serta menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak masing-masing berusia dua serta empat tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin memohon Mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal dengan mengambil kira keseriusan jenayah serta kepentingan awam.
Beliau berhujah jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah kesalahan serius yang memerlukan hukuman tegas sebagai pengajaran, selain melindungi kanak-kanak dan mencegah kejadian sama daripada berulang.
“Dalam kes ini, tertuduh sebagai orang dewasa mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan melakukan perbuatan berunsur seksual,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai 3 Julai lalu, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh turut diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




