LONDON: Novak Djokovic mengakui hanya hati yang kental membawanya melepasi aksi suku akhir Wimbledon paling panjang dalam sejarah, namun cabaran lebih getir sudah menantinya apabila berdepan juara bertahan dan pemain No. 1 dunia, Jannik Sinner pada separuh akhir, malam ini.
Jaguh Serbia berusia 39 tahun itu bangkit mengatasi kecederaan betis sebelum menewaskan Felix Auger-Aliassime 7-6 (12/10), 3-6, 6-3, 6-7 (4/7), 7-6 (10/4) dalam pertarungan epik selama lima jam 15 minit di Centre Court.
“Saya menang dengan raket dan hati yang besar.Pada penghujung perlawanan, sesiapa pun boleh menang. Inilah detik yang membuatkan saya masih terus bermain tenis sehingga hari ini,” kata Djokovic.
Kemenangan itu menyaksikan bekas juara tujuh kali Wimbledon itu mara ke separuh akhir buat kali ke-15, selain mencipta rekod baharu apabila layak ke kelompok empat terbaik buat lapan edisi berturut-turut, mengatasi pencapaian Roger Federer.
Namun, Djokovic kini berdepan ujian paling sukar apabila perlu mengekang kebangkitan Sinner yang mara lebih segar selepas menewaskan Jan-Lennard Struff dalam straight set untuk menempah tiket ke separuh akhir.
“Ia benar-benar satu ujian yang sukar hari ini, tetapi dari segi fizikal saya berasa semakin selesa dan itu satu perkembangan yang positif,” kata Sinner.
Pertembungan itu bakal menjadi tumpuan utama Wimbledon apabila pengalaman dan mental juara Grand Slam 24 kali milik Djokovic akan diuji oleh kelincahan serta konsistensi Sinner yang memburu kejuaraan kedua berturut-turut di Kelab All England. – AGENSI




