Kansas City: Miami: England menerima tamparan hebat menjelang aksi suku akhir Piala Dunia apabila pertahanan Jarell Quansah digantung dua perlawanan susulan kad merah yang diterimanya ketika kemenangan ke atas Mexico pada pusingan 16 terbaik.
Penggantungan itu menyebabkan Quansah terlepas aksi suku akhir menentang Norway di Miami, Ahad ini, selain separuh akhir sekiranya England berjaya mara.
Ini bermakna pemain berusia 23 tahun itu hanya boleh kembali beraksi jika England layak ke final Piala Dunia.
Quansah dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia melakukan terjahan meluncur dengan tapak kaki menghala ke arah pemain lawan.
England sebelum ini mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik penggantungan satu perlawanan yang dikenakan terhadap penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, pada awal kejohanan.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia itu memutuskan Quansah kekal dikenakan hukuman lebih berat iaitu penggantungan dua perlawanan.
Situasi itu menjadi tamparan buat pengurus England, Thomas Tuchel, yang kini berdepan masalah besar di bahagian pertahanan apabila beberapa pemain turut dibelenggu kecederaan.
Ketiadaan Quansah memaksa Tuchel mencari gandingan baharu di benteng pertahanan ketika England memburu tempat ke separuh akhir dengan menentang Norway yang diketuai penyerang berbisa, Erling Haaland.
© New Straits Times Press (M) Bhd




