Switzerland buru dendam 12 tahun

Switzerland buru dendam 12 tahun

Kansas City: Argentina dan Switzerland sekali lagi dipertemukan di pentas kalah mati Piala Dunia dengan kenangan pahit masih segar buat skuad Eropah itu selepas disingkirkan Lionel Messi dan rakan sepasukan 12 tahun lalu.

Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, jaringan Angel Di Maria pada masa tambahan menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Argentina pada pusingan 16 terbaik, sekali gus mematahkan tentangan hebat Switzerland.

Kali ini, kedua-dua pasukan bertemu pada aksi suku akhir pagi Ahad dengan Argentina hadir selaku juara bertahan selepas menjulang trofi di Qatar 2022.

Walaupun Messi kini berusia 39 tahun, pengaruh kapten Argentina itu masih cukup besar apabila mengetuai kebangkitan dramatik pasukannya menewaskan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terbaik selepas ketinggalan 0-2 sehingga berbaki 11 minit permainan.

“Kami sekali lagi perlu berdepan detik sukar, tetapi inilah Piala Dunia. Setiap perlawanan sangat mencabar.

“Pasukan ini tidak pernah berputus asa dan akan terus berjuang hingga wisel penamat,” kata Messi.

Switzerland pula mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun selepas menewaskan Colombia menerusi penentuan penalti susulan keputusan seri tanpa jaringan.

Kapten Switzerland, Granit Xhaka, yang turut beraksi ketika kekalahan kepada Argentina pada 2014, menganggap peluang menentang Messi sekali lagi sebagai satu penghormatan.

“Ia satu keistimewaan dapat bermain dalam era Messi. Kami tahu kualitinya, tetapi Argentina bukan hanya mempunyai Messi, mereka juga memiliki sebuah pasukan yang sangat kuat,” katanya.

Pertahanan Ricardo Rodriguez turut mengakui cabaran besar menanti mereka.

“Argentina sebuah pasukan hebat dengan pemain berkualiti dan jurulatih yang bagus. Kami tahu bagaimana mereka bermain.

“Dan mereka memiliki pemain terbaik dunia, iaitu Messi,” katanya.

Jurulatih Switzerland, Murat Yakin bagaimanapun percaya pasukannya mampu mengejutkan juara bertahan itu selepas melihat Argentina bergelut ketika menentang Cape Verde dan Mesir.

“Kami menentang juara bertahan dan ia peluang yang cukup istimewa. Pada masa sama, kami sedar Argentina bukan pasukan yang mustahil untuk ditewaskan.

“Perlawanan ini pasti menarik dari sudut taktikal,” katanya.

Sementara itu, pengendali Argentina, Lionel Scaloni menjangkakan satu lagi aksi sengit dan menyifatkan Switzerland sebagai pasukan yang mempunyai tradisi hebat di Piala Dunia serta dibarisi pemain berkualiti.

Dua belas tahun selepas Di Maria menghancurkan impian Switzerland di Brazil, skuad kendalian Yakin kini berpeluang membalas dendam.

Namun, sekali lagi mereka perlu melepasi halangan terbesar bernama Lionel Messi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top