Inglewood: Pemain gantian, Mikel Merino menjaringkan gol pada lewat perlawanan untuk membantu Sepanyol menewaskan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad La Roja menempah pertemuan separuh akhir menentang Perancis di Dallas, Rabu ini.
Sepanyol yang juga juara Eropah mendahului pada minit ke-30 apabila Fabian Ruiz melakukan tindakan susulan selepas penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois menyelamatkan rembatan Dani Olmo.
Belgium bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi tandukan Charles De Ketelaere yang menewaskan penjaga gol, Unai Simon selepas menerima hantaran lintang Timothy Castagne.
Malang buat Belgium apabila Courtois terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak kedua kerana kecederaan dan digantikan dengan Senne Lammens.
Merino yang dimasukkan selepas minit ke-86 menyambar peluang terbaik dua minit kemudian untuk meledak gol kemenangan selepas Lammens gagal menangkap kemas bola rembatan Pau Cubarsi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




