London: Bekas penyerang England, Alan Shearer percaya Cristiano Ronaldo berpotensi bergelar pengendali sebaik sahaja menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu menamatkan kempen Piala Dunia dengan mengecewakan apabila Portugal tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada Sepanyol.
Pada usia 41 tahun, Ronaldo beraksi hampir sepanjang kejohanan apabila hanya terlepas sembilan minit permainan, dengan pengendali Roberto Martinez terus menaruh kepercayaan kepadanya sebagai penyerang utama.
Bintang legenda Manchester United dan Real Madrid itu menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan, namun gagal memberi impak besar ketika Portugal memerlukannya.
Ramai berpendapat penurunan prestasi Ronaldo berpunca daripada faktor usia, namun beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan terus bersama Portugal atau mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.
Shearer percaya apabila Ronaldo akhirnya menggantung but, laluan untuk menjadi pengendali Portugal akan terbuka luas sekiranya beliau berminat.
“Ini situasi yang sukar kerana kita bercakap mengenai seorang legenda yang memecahkan pelbagai rekod. Saya kagum dengan dedikasi, gaya permainan dan keinginannya untuk terus bermain.
“Sebelum kejohanan bermula, saya sudah katakan cara Martinez mengendalikan Ronaldo sama ada tidak menurunkannya atau mengeluarkannya lebih awal akan menentukan sejauh mana Portugal mampu pergi.
“Dia hanya dikeluarkan dalam satu perlawanan. Dalam aksi menentang Sepanyol, saya fikir Ronaldo sepatutnya dikeluarkan dan perubahan perlu dilakukan.
“Mana-mana penyerang Portugal selepas ini juga akan berdepan situasi sama selagi Ronaldo masih belum bersara.
“Dia kini berusia 41 tahun. Saya tidak akan terkejut jika dia terus bermain, tetapi saya akan benar-benar terkejut jika dia masih bersama skuad kebangsaan dalam tempoh dua tahun lagi.
“Pada pandangan saya, lebih baik meninggalkan pentas ketika orang masih mahukan anda. Kejohanan ini mungkin sudah menjadi satu kejohanan terlalu banyak buatnya dan juga Portugal.
“Saya tidak tahu apa perancangannya selepas bersara, tetapi jika dia mahu mengendalikan Portugal suatu hari nanti, saya yakin hanya menunggu masa sebelum jawatan itu menjadi miliknya,” kata Shearer.
Sebelum ini timbul laporan bahawa Ronaldo akan bersara daripada aksi antarabangsa selepas Piala Dunia, namun selepas Portugal tersingkir, beliau memberi bayangan masih mahu terus bermain sehingga Euro 2028.
Sementara itu, Martinez meletakkan jawatan selepas kekalahan kepada Sepanyol dan bekas pengendali Al-Nassr, Jorge Jesus, dijangka diumumkan sebagai pengendali baharu Portugal.
Jesus pernah membimbing Ronaldo di Al-Nassr selepas menyertai kelab Arab Saudi itu pada Julai 2025 dan dijangka mengetuai Portugal menghadapi Euro 2028 serta Piala Dunia 2030.
© New Straits Times Press (M) Bhd



