Trump jemput Kane bermain golf

Trump jemput Kane bermain golf

Miami, Amerika Syarikat: Kapten England, Harry Kane mendedahkan dia pernah bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang luar biasa.

Trump sebelum ini memberitahu media beliau pernah bermain golf bersama Kane, selain memuji penyerang England itu sebagai pemain hebat dan memiliki kemahiran baik dalam sukan berkenaan.

Bercakap menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang Norway, Kane mengesahkan pertemuan itu berlaku di Palm Beach, Florida kira-kira 18 bulan lalu.

“Saya bermain dengan agak baik, sejujurnya,” kata Kane kepada wartawan di Miami.

“Beliau menjemput saya bermain ketika saya berada di Palm Beach. Jadi apabila Presiden AS menjemput anda ke sesuatu acara…

“Ia satu pengalaman yang agak luar biasa untuk bertemu dengannya dan tentunya bermain golf bersama beliau. Permainan golfnya juga memang bagus.

“Saya harap saya boleh bermain sebaik beliau apabila mencapai usianya nanti. Ia pengalaman yang unik dan saya sangat menghargai jemputan itu.”

Trump sebelum ini turut memuji penyerang Bayern Munich itu menerusi platform Truth Social selepas kemenangan 3-2 England ke atas Mexico pada pusingan 16 terakhir.

“Harry Kane dari England adalah pemain HEBAT!!!” tulis Trump.

Sehari kemudian, Trump mendedahkan beliau pernah bermain golf bersama Kane.

“Saya fikir Kane adalah seorang pemain yang hebat,” kata Trump.

“Saya pernah bermain golf dengannya dan saya sangat menyukainya. Dia pemain golf yang bagus. Dia memang hebat.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top