MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengajak seluruh rakyat negara ini kembali bersatu sebaik sahaja selesai proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.
Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, perbezaan pandangan politik adalah perkara lumrah dalam sistem demokrasi, namun ia tidak seharusnya menjadi punca permusuhan.
“Saya harap bila semua dah mengundi dan keputusan dah keluar.
“Kita kembali jadi kawan, walaupun berbeza parti atau pandangan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang kecil dengan jumlah penduduk sekitar 35 juta orang, sekali gus menuntut rakyatnya untuk terus bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran yang lebih besar.
“Banyak lagi cabaran yang kita kena hadap bersama sebagai rakyat Malaysia. Tak apa kalau kita berbeza pendapat. Itu biasa dalam demokrasi.
“Tapi lepas semuanya selesai, jom kita kembali bersatu. Kita boleh berdebat tanpa bermusuh. Akhirnya, kita semua satu pasukan sama: Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, Syed Saddiq telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera bersama ibu bapa serta kakaknya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.



