KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengakui kesemua calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor gagal memperoleh jumlah undi minimum untuk mengekalkan deposit masing-masing.
Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, analisis awal berdasarkan Borang 14 dan keputusan tidak rasmi yang diterima setakat ini menunjukkan calon-calon Bersama meraih antara tiga hingga enam peratus undi secara purata di 15 kerusi yang ditandingi.
Menurut beliau, pencapaian itu bukan sahaja menyebabkan semua calon parti berkenaan hilang deposit, malah gagal mencapai sasaran awal untuk memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi.
“Ini bermakna kesemua calon Bersama hilang deposit kerana tidak mendapat undi minimum 12.5 peratus.
“Ia juga tidak melepasi sasaran untuk tidak hilang deposit dan mencapai 15 peratus undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, analisis awal turut menunjukkan berlaku peralihan undi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN) merentasi pelbagai segmen pengundi mengikut umur dan kaum.
Katanya, trend tersebut memberi kesan kepada semua parti yang bertanding termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Bersama dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Sehubungan itu, beliau berkata, Bersama akan meneliti keputusan pengundian secara terperinci bagi menambah baik pendekatan parti dalam usaha meraih sokongan pengundi pada masa akan datang.
Pada masa sama, Rafizi merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikan kepercayaan kepada calon-calon Bersama serta kepada calon, ahli, sukarelawan dan penyokong yang terlibat sepanjang kempen PRN Johor.
Beliau berkata, satu majlis penghargaan akan diadakan di ibu pejabat baharu parti itu dalam tempoh terdekat selepas kemudahan tersebut siap digunakan.
“Walaupun keputusan PRN Johor tidak berpihak kepada Bersama, pengalaman berkempen akan membantu membina parti yang baru berusia 52 hari ini.
“Insya-ALLAH, kita akan terus berusaha dan mendoakan rakyat Malaysia terbuka untuk menerima Bersama satu hari nanti,” katanya. – Awani



