Rom: Legenda bola sepak Itali, Paolo Maldini diberi tanggungjawab besar untuk mengembalikan kegemilangan Azzurri apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).
Pelantikan bekas kapten Itali berusia 58 tahun itu dibuat susulan kegagalan memalukan negara itu layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Presiden baharu FIGC, Giovanni Malago berkata, Maldini adalah pilihan utamanya untuk menerajui revolusi bola sepak Itali.
“Maldini sentiasa menjadi pilihan saya. Saya percaya beliau individu paling tepat untuk mengetuai sektor teknikal FIGC, bukan sahaja membabitkan skuad senior tetapi juga keseluruhan program pembangunan pasukan kebangsaan.
“Kami memulakan pelan selama empat tahun dengan sasaran membawa Itali kembali ke Piala Dunia 2030 dan mengharungi Euro di sepanjang tempoh itu,” katanya.
FIGC turut mengumumkan bekas pengarah sukan AC Milan dan Paris Saint Germain, Leonardo akan bertindak sebagai penasihat kepada Maldini.
Dalam peranan baharunya, Maldini juga dilantik sebagai Presiden Club Italia yang menyelia semua pasukan kebangsaan lelaki dan wanita di setiap peringkat umur.
Pelantikan itu menjadikannya individu pertama memegang dua jawatan utama serentak dalam FIGC, sekali gus memberinya kuasa penuh terhadap semua keputusan teknikal bola sepak Itali.
Misi utama Maldini adalah mengembalikan status Itali sebagai kuasa besar dunia selepas skuad Azzurri gagal layak ke tiga edisi Piala Dunia berturut-turut meskipun muncul juara Euro 2020.
Antara tugasan terdekat beliau ialah mencari ketua jurulatih baharu selepas Gennaro Gattuso meletakkan jawatan susulan kekalahan kepada Bosnia dan Herzegovina menerusi penentuan penalti dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2026, Mac lalu.
Bekas jurulatih Napoli, Antonio Conte yang pernah mengendalikan Itali dari 2014 hingga 2016 disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengisi kekosongan itu.
Maldini menghabiskan keseluruhan karier profesionalnya bersama AC Milan dengan memenangi tujuh gelaran Serie A dan lima trofi Liga Juara-Juara, selain membuat 126 penampilan bersama Itali termasuk beraksi dalam empat Piala Dunia dan tiga Kejohanan Eropah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




